
BEIJING: Pihak berkuasa China mengenakan tindakan terhadap 10 individu yang didakwa menyebarkan maklumat palsu di internet berhubung kejadian tanah runtuh maut di sempadan Nepal-China, ketika pasukan penyelamat giat mencari ratusan mangsa yang masih hilang di wilayah Tibet.
Menurut polis, tindakan itu yang merangkumi denda hingga tahanan selama 10 hari dikenakan ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan di kedua-dua belah sempadan selepas aliran air deras yang dahsyat melanda beberapa kawasan di Nepal dan Tibet, China minggu lalu hingga menghanyutkan seluruh kampung.
Menurut kenyataan Biro Keselamatan Siber Kementerian Keselamatan Awam China, khabar angin yang disebarkan oleh 10 individu itu mendakwa jumlah mangsa hilang atau maut jauh lebih tinggi berbanding angka rasmi yang dilaporkan.
Seorang individu dikenali sebagai Qiu dilaporkan berkongsi di internet mendakwa berita melaporkan 1,400 kematian, tetapi sebenarnya 3,000 orang sebelum ini dilaporkan hilang, manakala seorang lagi individu bernama Liu mendakwa lebih 3,000 orang maut di China akibat tanah runtuh itu, menurut kenyataan berkenaan.
Pihak berkuasa tidak menjelaskan bentuk hukuman yang dikenakan terhadap setiap individu.
Banjir itu mengorbankan sekurang-kurangnya 903 orang di Nepal, manakala 4,247 lagi masih hilang, menurut pihak berkuasa bencana negara berkenaan.
Di Tibet yang ditadbir China pula, 16 orang maut dan 546 masih hilang. Tanah runtuh itu meratakan kawasan seluas kira-kira 0.7 kilometer persegi, bersamaan 98 padang bola sepak, lapor media kerajaan China.
Ketika ditanya mengenai laporan antarabangsa bahawa Beijing menapis gambar banjir dan mengecilkan angka kematian, Kementerian Luar China pada Isnin berkata, penyampaian maklumat mengenai bencana itu dibuat secara terbuka, telus dan tepat pada masanya.
“Usaha memburuk-burukkan secara berniat jahat dan sensasi dengan menggunakan situasi bencana tidak akan mendapat sokongan orang ramai,” kata jurucakap kementerian itu, Guo Jiakun pada sidang media.
Tibet, sebuah wilayah autonomi China, sebahagian besarnya tidak boleh diakses wartawan asing, sekali gus menyukarkan laporan bebas mengenai skala bencana di kawasan yang mempunyai banyak perkampungan itu.
Agensi berita Xinhua sebelum itu melaporkan pada Isnin petugas kecemasan bertarung dengan masa dan keadaan sukar dalam usaha mencari mangsa yang terselamat.
“Pasukan penyelamat mara ke kawasan teras bencana walaupun berdepan cabaran termasuk bentuk muka bumi berketinggian tinggi, lembah curam dan cuaca tidak menentu.
“Mereka turut menjalankan kerja membuang lumpur dari jalan, operasi mencari dan menyelamat, mengenal pasti kawasan berbahaya, melakukan pembasmian kuman dan pencegahan wabak, selain membersihkan serta memulihkan laluan yang rosak di Tibet,” lapor Xinhua.
Menurut ramalan Pusat Meteorologi Kebangsaan, Gyirong, daerah yang paling teruk terjejas akibat tanah runtuh itu, dijangka menerima hujan dalam tempoh beberapa hari akan datang, sambil memberi amaran keadaan itu boleh menyebabkan jalan raya licin dan menyukarkan usaha menyelamat.
Komunikasi di pelabuhan Gyirong telah dipulihkan, lapor Xinhua pada malam Ahad.
Daripada keseluruhan mangsa yang masih hilang di Tibet, 261 orang merupakan warga asing, termasuk 104 warga Nepal, 49 dari India, 33 dari Latvia dan 18 dari Amerika Syarikat (AS).
Presiden China, Xi Jinping pada Isnin berkata, China sedang mengerahkan segala usaha untuk mencari mangsa yang masih hilang di sebelah sempadan negara itu.
The post China denda 10 individu sebar maklumat palsu insiden tanah runtuh appeared first on Utusan Malaysia.



