Wanita alami gangguan otak selepas amal diet air

Health & Fitness
31 Aug 2026 • 8:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wanita alami gangguan otak selepas amal diet air

BEIJING: Seorang wanita di China mengalami gangguan otak serius yang mungkin tidak dapat pulih sepenuhnya selepas mengamalkan diet ekstrem dengan hanya minum air selama 15 hari berturut-turut.

Wanita berusia 31 tahun dari wilayah Henan itu dilaporkan mengalami mengalami kesukaran berjalan dan kemerosotan daya ingatan selepas menjalani puasa ekstrem itu yang menyaksikan berat badannya susut 20 kilogram (kg).

Wanita itu sebelum ini mempunyai berat 70kg dengan ketinggian 160 sentimeter (cm).

Menurut Pakar Neurologi Hospital Universiti Zhengzhou, Sun Guifang, wanita itu didiagnosis menghidap ensefalopati Wernicke, iaitu gangguan otak serius akibat kekurangan vitamin penting dan asid folik.

Keadaan itu boleh menyebabkan gejala seperti kekeliruan, masalah keseimbangan ketika berjalan, gangguan pergerakan mata dan kemerosotan daya ingatan.

Guifang berkata, gaya berjalan wanita itu kini menyerupai penguin dan memberi amaran masalah berkenaan mungkin tidak dapat dipulihkan.

Beliau mengaitkan keadaannya dengan diet ekstrem itu, sambil menegaskan tubuh memerlukan pengambilan makanan secara berkala bagi mendapatkan nutrien penting.

Wanita itu memberitahu, dia mengamalkan ‘bigu’, iaitu kaedah berpuasa dalam Taoisme yang berasaskan kepercayaan bahawa seseorang boleh mencapai tahap kerohanian tinggi dan keabadian dengan hanya bergantung kepada ‘qi’, tenaga kehidupan yang dipercayai mengalir dalam alam semesta.

Istilah bigu bermaksud menghindari bijirin dan dipercayai telah wujud sebelum zaman Dinasti Qin yang berlangsung dari 221 sebelum Masihi hingga 206 sebelum Masihi.

Walaupun pendekatan moden untuk menurunkan berat badan menggalakkan pemakanan yang kaya dengan makanan minimum proses, rendah gula dan lemak serta tinggi protein, masih terdapat individu yang menganggap bigu sebagai kaedah berkesan untuk menurunkan berat badan dan menyahtoksik tubuh.

Namun, terdapat banyak laporan yang mengaitkan amalan berkenaan dengan masalah kesihatan serius, termasuk kematian.

Susulan kebimbangan terhadap kesan amalan berkenaan, semakin banyak pihak menggesa supaya kandungan yang mempromosikan bigu diharamkan.

Pakar menegaskan penurunan berat badan secara sihat perlu dicapai melalui pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal secara berkala, bukannya dengan mengehadkan pengambilan kalori secara keterlaluan.-AGENSI

The post Wanita alami gangguan otak selepas amal diet air appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved