China sedang membangunkan tentera laut yang mampu bersaing dengan tentera laut Amerika Syarikat. Dari segi jumlah kelengkapan, China kini di hadapan tetapi ia tidak mempunyai kuasa untuk menunjukkan kekuatan kerana kekurangan kapal pengangkut pesawat. Kini menurut laporan AP, China telah memulakan pembinaan reaktor nuklear yang akan digunakan pada kapal pengangkut pesawat mereka yang seterusnya.

Dengan kapal pengangkut pesawat nuklear, China boleh menjalankan misi lebih lama kerana kapal dari jenis ini boleh berlayar bertahun-tahun tanpa perlu diisi bahan api. Menerusi imej satelit yang diambil berhampiran bandar Leshan di daerah Sechuan, penyelidik Middlebury Institute of International Studies di California menemukan bukti sebuah prototaip reaktor untuk kapal sedang dibina.
Projek pembinaan reaktor nuklear ini diberi nama Longwei dengan kawasan projek pula diberikan nama Base 909 di bawah bidang kuasa Institut Tenaga Nuklear China. Pembinaan kapal pengangkut pesawat nuklear ialah langkah seterusnya untuk China mencapai tahap setara dengan Amerika Syarikat dan Perancis yang merupakan dua negara yang mempunyainya. Amerika mempunyai 11 kapal pengangkut pesawat nuklear dan Perancis pula mempunyai hanya satu.
China sudahpun mampu membina kapal pengangkut pesawat konvensional rekaan sendiri dan juga yang dilengkapi sistem CATOBAR. Tahun lalu kami telah laporkan China berminat untuk membina kapal kargo berkuasa nuklear. Pada waktu tersebut ia sekadar perancangan dengan projek dibina oleh syarikat awam tanpa penglibatan tentera.


