Idea Penggunaan Tenaga Nuklear Mungkin Diperkenalkan Sewaktu Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13

TechnologyDigital
5 Nov 2024 • 7:08 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Dengan peningkatan penggunaan tenaga elektrik yang semakin mendadak, khususnya dengan penambahan baru seperti industri pusat data dan AI, kerajaan Malaysia nampaknya kini sedang mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai sebuah sumber tenaga baru tidak lama lagi.

Ia dilaporkan bahawa Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengatakan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama-sama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan bekerjasama untuk memastikan bahawa rangka kerja dan peraturan perundangan dibangunkan dengan telus untuk membolehkan pihak kerajaan membentang dan membincangkan idea berkenaan pembangunan loji tenaga nuklear di negara ini.

image is not available

“Oleh kerana keputusan itu telah dibuat di peringkat Majlis Tenaga Negara dan juga diperakukan oleh Jemaah Menteri, maka dalam Rancangan Malaysia ke-13 kemungkinan sumber nuklear akan dimasukkan secara rasmi sebagai salah satu dari sumber tenaga di negara ini,” katanya.

Rafizi mengatakan bahawa selain daripada rangka kerja yang lengkap, pematuhan piawaian antarabangsa juga perlu diikuti dan dititikberatkan sebelum memulakan pelaksanaan penggunaan tenaga nuklear ini.

Secara teknikalnya, pihak MOSTI telahpun memperkenalkan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 yang memperlihatkan agenda negara dalam mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear dalam mempertingkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan akyat, dan pada masa yang sama memulihara sumber asli serta alam sekitar.

Walaupun begitu, dasar tersebut pada masa ini tidak mengatakan apa-apa tentang menggunakan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber utama tenaga di negara ini, tetapi dengan banyak negara kini sedang cuba untuk mencari sumber tenaga lestari baharu yang tidak memporak-perandakan alam sekitar, mungkin cadangan ini boleh dipertimbangkan sewaktu pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 kelak.