Amerika Syarikat telah menghalang akses kepada model kecerdasan (AI) Fable 5 kepada pengguna bukan rakyat negara beberapa minggu lalu kerana risau ia digunakan bagi membangunkan model AI negara luar menerusi teknik penyulingan. Reuters pagi ini melaporkan China juga sedang mempertimbangkan untuk menghadkan akses model AI buatan tempatan oleh pengguna negara luar.
Wakil kerajaan China telah melakukan pertemuan dengan wakil Alibaba, ByteDance dan Z.ai bagi melihat langkah yang boleh dilakukan. Seperti Amerika Syarikat, China melihat model AI sebagai aset strategik negara yang perlu dikawal, selari dengan pendekatan Amerika Syarikat.

Antara langkah yang mungkin diambil China ialah menghadkan akses model AI paling maju. Sekatan juga dipertimbangkan ke atas pelaburan daripada luar ke dalam syarikat AI tempatan. Disamping itu, kebocoran atau kecurian teknologi AI mungkin dijadikan kesalahan di bawah undang-undang keselamatan negara.
Pada ketika ini 6 daripada 10 model AI yang paling popular digunakan oleh perniagaan adalah yang dibangunkan oleh syarikat China. Ia dipilih kerana kos lebih murah serta diberikan secara percuma berbanding model Amerika Syarikat yang menelan belanja penggunaan token yang tinggi.
Langkah ini dilihat selari dengan pendekatan Beijing ke atas akses kepada algoritma yang dibangunkan syarikat tempatan. Selepas perniagaan TikTok Amerika Syarikat dijual oleh Bytedance misalnya, algoritma tidak termasuk dalam terma penjualan kerana dilihat sebagai rahsia negara.
Bulan lalu pula, pelabur awal Manus.AI dilaporkan ingin membeli semula syarikat daripada Meta selepas ia menerima tentangan kerajaan. Pengasas Manus dihalang daripada keluar daripada negara kerana menjual syarikat AI kepada entiti Amerika Syarikat.






