China dilaporkan merancang untuk mengharamkan tayangan filem-filem Hollywood sebagai tindak balas terhadap ancaman tarif terbaru yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump, sambil menegaskan bahawa negara itu tidak akan menerima “sikap pemeras ugut” oleh Amerika Syarikat.
Seorang wartawan China mendedahkan bahawa China akan mengenakan tarif tambahan ke atas produk pertanian dari AS seperti kacang soya, menyekat semua ayam dari AS daripada memasuki negara itu, dan mengharamkan import filem dari Amerika Syarikat.
Tahun lalu, filem-filem AS berjaya mencatat kutipan sebanyak $585 juta (kira-kira RM2.76 bilion) iaitu kira-kira 3.5 peratus daripada jumlah kutipan box office China sebanyak $17.71 bilion. Angka ini merupakan antara bahagian terbesar bagi filem asing yang ditayangkan di China.
Filem-filem besar akan rugi
Jika larangan ini dikuatkuasakan, filem-filem besar dari Hollywood seperti Jurassic World: Rebirth, The Accountant 2, dan sekuel Mission: Impossible mungkin akan kehilangan ratusan juta dolar daripada pasaran China.
Presiden AS, Donald Trump, pada hari sebelumnya mengumumkan bahawa beliau akan mengenakan tambahan tarif sebanyak 50 peratus ke atas China sekiranya Beijing tidak menarik semula tindakan balas tarif yang dikenakan terhadap AS. China dengan pantas membalas kenyataan tersebut dengan menyifatkan ia sebagai “pemerasan” dan mula merangka rancangan untuk mengharamkan beberapa import dari AS.
Kementerian Perdagangan China menyatakan bahawa ancaman daripada AS merupakan ‘kesilapan demi kesilapan’, dan sekali lagi mendedahkan sikap pemeras ugut yang ditunjukkan oleh pihak Amerika. China juga menggesa AS supaya menyelesaikan perbezaan melalui dialog secara adil, saling menghormati dan di atas dasar kesamarataan.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian berkata, perang tarif tidak akan membawa kemenangan kepada sesiapa serta dasar perlindungan tidak akan membawa jalan keluar.
“Rakyat China tidak suka mencari masalah, tetapi juga tidak takut untuk menghadapinya. Tekanan, ancaman dan pemerasan bukan cara yang betul untuk berurusan dengan China,” katanya.
Sekiranya Trump meneruskan rancangan untuk mengenakan tarif tambahan sebanyak 50 peratus, jumlah cukai import baru terhadap barangan China oleh AS tahun ini dijangka meningkat kepada 104 peratus menjelang hari Rabu.
Sumber: Daily Mail
The post China rancang haramkan filem Hollywood, balas ancaman tarif Trump appeared first on The Reporter.






