China tawar bantuan teknologi pemprosesan nadir bumi, namun hanya dengan syarikat berkaitan kerajaan - Johari

28/08/2025 - 17:42
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 28 Ogos – China bersedia memberikan bantuan teknikal dan teknologi kepada Malaysia dalam bidang pemprosesan nadir bumi, namun sebarang kerjasama dicadangkan hanya melibatkan syarikat berkaitan kerajaan, menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Presiden China, Xi Jinping ketika mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur pada April lalu.
“Bagi menjaga kepentingan teknologi China, beliau meminta agar kerjasama itu hanya melibatkan syarikat berkaitan kerajaan.
“Buat masa ini, perbincangan masih di peringkat awal dan tiada sebarang perjanjian antara Beijing dan Kuala Lumpur dicapai,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Johari yang turut menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar berkata, bantuan China penting memandangkan dominasi global negara itu dalam pemisahan elemen nadir bumi.
Beliau berkata, kerjasama itu dijangka meningkatkan reputasi Malaysia dalam sektor nadir bumi, selain mengiktiraf teknologi pemprosesan nadir bumi dari China dan bukan China, merujuk kepada kilang pemprosesan yang dikendalikan syarikat Australia, Lynas, di Pahang.
Malaysia sebelum ini telah melarang eksport nadir bumi mentah dan hanya membenarkan penghantaran mineral yang telah diproses bagi mengelak eksploitasi dan kehilangan sumber.
Dalam jawapan berasingan, Johari berkata, berdasarkan data Jabatan Mineral dan Geosains pada tahun 2019, Malaysia mempunyai kira-kira 16.1 juta tan metrik deposit nadir bumi.
Namun kajian lanjut diperlukan untuk menentukan jumlah sebenar yang boleh dilombong, dengan polisi sedia ada melarang perlombongan di hutan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan rizab yang dilindungi. - DagangNews.com
standard




