Chong Wei Kongsi Resipi Kejayaan

27 May 2023 • 9:21 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Menurut Lee Chong Wei, beliau sentiasa mahu menjadi pemain terbaik dunia kerana padanya, bergelar pemain nombor satu Malaysia masih belum memadai - Gambar oleh Azim Rahman

KUALA LUMPUR - Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei berkongsi bagaimana keinginan untuk berjaya telah mendorong beliau menjadi ‘superstar’ sukan badminton sehingga disenarai dalam Badminton Hall of Fame Persekutuan Badminton Dunia (BWF)  semalam.

Menurut Chong Wei, beliau sentiasa mahu menjadi pemain terbaik dunia kerana padanya, bergelar pemain nombor satu Malaysia masih belum memadai.

“Dalam fikiran, saya sentiasa mahu menjadi rakyat Malaysia pertama, (menjadi) yang pertama (rakyat Malaysia) menjadi nombor satu dunia.

“Saya selalu tanam dalam minda bahawa saya mahu jadi pemain Malaysia pertama memegang gelaran nombor satu dunia paling lama,” katanya kepada pemberita pada majlis pemasyhuran Badminton Hall of Fame BWF di sini hari ini.

image is not available
Lee Chong Wei di majlis pemasyhuran Badminton Hall of Fame BWF - Gambar oleh Azim Rahman

Chong Wei mengakui cabaran daripada ‘musuh tradisinya’ Lin Dan menjadi pendorong kepada beliau untuk layak ke perlawanan akhir dalam setiap kejohanan, kerana kedua-dua mereka sering kali cuba mengatasi satu sama lain dalam pertandingan.

Walaupun Lin Dan menjadi musuh utamanya dalam gelanggang, namun pemain China yang kini berusia 39 tahun itu sentiasa memberi dorongan diperlukan untuk berada dalam kelasnya tersendiri.

“Sama ada saya atau dia (Lin Dan) menang, saya sentiasa mahu bersaing (pastikan) kedua-dua kami akan mara ke final. Saya sentiasa mahu kalahkan Lin Dan dan kami memberi galakkan antara satu sama lain setiap kali di final,” katanya.

image is not available
Lee Chong Wei dan Lin Dan - Gambar oleh Azim Rahman

Semalam, Chong Wei dan Lin Dan dimasyhurkan dalam Badminton Hall of Fame BWF atas kejayaan dan sumbangan mereka terhadap sukan badminton dengan muncul sebagai pemain perseorangan lelaki paling dominan ketika era kegemilangan mereka.

Penguasaan Chong Wei dan Lin Dan dalam arena badminton menyaksikan mereka bertanding sesama sendiri dalam lima perlawanan akhir di temasya Sukan Olimpik dan 10 Kejohanan Dunia. - Bernama