
GEORGE TOWN: Kerosakan peralatan permainan yang berlaku di Fasa 1 Gurney Bay, di sini hanyalah kerosakan kecil sahaja, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow (gambar).
Chow berkata kontraktor yang bertanggungjawab dalam pembinaan Fasa 1 itu, telah diarahkan untuk membaiki apa sahaja kerosakan yang ada di taman tersebut.
“Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Jason H’ng Mooi Lye, telah berurusan dengan pihak kontraktor berkenaan dan mereka telah selesai memasang semula peralatan yang rosak itu dan longgar tersebut.
“Mana-mana kontrak tertakluk kepada perjanjian dan kontrak ini pun belum tamat lagi, jadi kontraktor diarahkan untuk membaiki apa apa kerosakan, kerosakan itu sikit sahaja.
“Dalam pada itu, kita menerima sebanyak 95 peratus komen di media sosial merupakan komen positif, yang mengalu-alukan pembukaan Fasa 1 Gurney Bay, empat peratus lagi juga amat mengalu alukan, satu peratus hampir nak mengalu-alukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Hotel Marriot Penang, di sini hari ini.
Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng memuat naik satu hantaran menerusi laman Facebook beliau, yang mempersoalkan kualiti kerja taman rekreasi berkenaan yang baru dibuka, namun sudah mengalami kerosakan.
“Nilai RM247 juta yang dibelanjakan, sepatutnya membawa kepada sebuah taman rekreasi yang bertaraf antarabangsa,” menurut Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih.
Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri menunggu tindakan lanjut daripada pihak pemaju projek pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar, dekat sini sama ada mereka mahu meneruskan pembinaan asrama itu atau mahu meminda projek tersebut.
Beliau berkata ini kerana, pihak pemaju projek itu telah mendengar bantahan daripada penduduk setempat menerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar.
“Masing-masing boleh meneruskan apa yang mereka mahu, kalau mereka (penduduk) mahu terus bantah mereka boleh terus bantah, bagi pemaju dia sudah dengar bantahan terpulang pada pemaju sama ada mahu teruskan atau meminda, mengecilkan skala projek atau apa-apa sahaja.
“Kita menunggu keputusan pemaju, kita tidak boleh halang sesiapa sahaja untuk mengemukakan permohonan,” katanya.
Pada Disember lalu, lebih 1,000 penduduk tempatan di Teluk Kumbar mengadakan demonstrasi aman, bagi membantah serta mendesak Kerajaan Pulau Pinang untuk segera membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing, yang dikatakan mampu memuatkan lebih 30,000 pekerja asing di kawasan tersebut. -Bernama

