
GEORGE TOWN: Warga muda harus lebih aktif dan memainkan peranan sebagai pemangkin serta juara dalam memelihara warisan kebudayaan untuk negara, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Beliau seterusnya mencadangkan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Warisan Negara membuka peluang baharu dan melantik lebih banyak konservator warisan daripada kalangan orang muda.
“Senarai konservator warisan pada 2023 hanya ada sembilan orang yang berdaftar di Pulau Pinang dan jumlah ini tidak mencukupi, Pulau Pinang memerlukan lebih banyak pakar dalam bidang ini!” katanya ketika berucap di Majlis penyerahan mock cheque peruntukan bagi pemuliharaan dan pengurusan Tapak Warisan Dunia Unesco daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing di sini hari ini.
Beliau berkata suntikan dana melalui peruntukan RM25 juta bagi pemuliharaan dan pengurusan Tapak Warisan Dunia Unesco George Town itu dapat ditumpukan kepada kerja-kerja naik taraf serta meneruskan agenda dalam mengekalkan status Unesco.
“Sepanjang 15 tahun ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM150 juta dalam menampung kos pemuliharaan, pemeliharaan, konservasi, penaiktarafan, pembaikian, pendokumentasian, promosi, aktiviti perkasaan komuniti dan pengurusan tapak.
“Sebahagian peruntukan ini adalah untuk baik pulih (bangunan warisan) dan sebahagian untuk projek komuniti,” katanya. -Bernama

