
WASHINGTON: Banduan hukuman mati di Amerika Syarikat (AS), Christa Pike kini sedar dan boleh bercakap selepas terselamat daripada percubaan pelaksanaan hukuman mati yang gagal minggu lalu, menurut peguamnya.
Pike, 50, masih menerima rawatan perubatan kritikal di hospital dalam keadaan tangan digari, lapor peguamnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pike yang dijatuhi hukuman mati selepas membunuh Colleen Slemmer pada 1995, terselamat daripada dua percubaan suntikan maut yang gagal pada Rabu lalu di Tennessee.
Dia kemudian dibawa ke hospital dan tidak sedarkan diri selama beberapa hari ketika petugas perubatan berusaha menyingkirkan bahan kimia yang disuntik ke dalam tubuhnya.
Pakar dan pasukan perundangannya berkata, perkembangan pemulihan Pike itu belum pernah berlaku sebelum ini. Dia dipercayai satu-satunya individu yang terselamat daripada suntikan maut.
Pakar Kriminologi dan Pensyarah Sekolah Undang-Undang Fordham, Deborah Denno berkata, beliau benar-benar terkejut kerana Pike kini sedar dan boleh bercakap.
“Terdapat tujuh kes lain membabitkan banduan yang terselamat daripada pelaksanaan hukuman mati, namun dalam kes berkenaan, petugas pelaksana tidak berjaya menyuntik bahan berkenaan ke dalam salur darah banduan.
“Pike adalah satu-satunya individu yang menerima suntikan sejenis toksin.
“Mereka melakukan segala yang sepatutnya dilakukan sebagai sebahagian daripada proses pelaksanaan hukuman mati, tetapi ia tidak berhasil. Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Denno kepada BBC.
Pihak berkuasa masih belum menyatakan sama ada akan cuba melaksanakan hukuman mati terhadap Pike sekali lagi. Mereka juga belum memberikan penjelasan mengenai apa yang berlaku selepas bahan kimia pentobarbital disuntik ke dalam tubuhnya.
Gabenor Tennessee, Bill Lee menggantung semua pelaksanaan hukuman mati untuk baki tahun ini, manakala ketua jabatan penjara negeri itu turut memaklumkan minggu beliau bercadang untuk meletakkan jawatan.
Pike berusia 18 tahun ketika dia dan teman lelakinya, Tadaryl Shipp memukul, menyeksa dan membunuh Slemmer, 19, yang mereka kenali di sebuah kem latihan pekerjaan untuk remaja bermasalah.
Peguam Pike dijadual hadir di mahkamah di Nashville dan merancang mengadakan sidang media di luar mahkamah.
Pakar bius yang menjadi penasihat kepada pasukan pembelaan Pike, Dr. Joel Zivot berkata, masih terdapat banyak ketidakpastian dan perkara yang belum diketahui, termasuk berapa banyak pentobarbital yang memasuki tubuh Pike, paras bahan itu dalam darahnya selepas suntikan serta bagaimana proses pemulihannya akan berlaku.
“Saya tidak akan mengatakan sama sekali pada tahap ini bahawa semua risiko besar sudah berlalu,” katanya.
Zivot sebelum ini berkata, dua dos pentobarbital yang diterima Pike minggu lalu sepatutnya mencukupi untuk menyebabkan kematian jika bahan itu memasuki aliran darahnya secara normal.
Sebaliknya, Zivot berkata, satu kemungkinan ialah pentobarbital itu tidak memasuki aliran darah Pike, sebaliknya berkemungkinan besar hanya merebak ke tisu di bawah kulitnya.
The post Christa Pike sedar, boleh bercakap selepas jalani hukuman mati appeared first on Utusan Malaysia.



