TAWAU - Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara selama 35 tahun dan 12 sebatan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah membunuh penebar roti canai, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos.
Menurut pertuduhan, dia didakwa membunuh Sirlin Salleh, 36, di kawasan semak, Kampung Pisang, Lahad Datu, antara jam 6 hingga 8 pagi pada 14 November 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Sebelum itu, berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga ibu kepada lima anak ditemukan ahli keluarganya dalam keadaan separuh bogel kira-kira 600 meter dari rumahnya pada pukul 8.15 pagi.
Mangsa yang bekerja sebagai penebar roti canai dipercayai melalui lokasi kejadian ketika dalam perjalanan ke tempat kerja iaitu laluan yang biasa digunakannya seperti disahkan oleh suaminya.
Pemeriksaan pakar forensik menemukan kesan hentakan objek tumpul pada bahagian kepala mangsa, beberapa kesan kelar menggunakan senjata tajam pada bahagian leher dan luka di bahagian tangan dipercayai berlaku ketika mangsa cuba mempertahankan diri.
Peguam tertuduh, Kamarudin Mohmad Chinki, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan dengan mengambil kira keputusan anak guamnya mengaku bersalah terhadap kesalahan paling berat di bawah Kanun Keseksaan.
Menurutnya, tertuduh yang mempunyai lima anak itu turut rasa kesal atas kematian mangsa dan dengan pengakuan bersalah itu menunjukkan dia bertanggungjawab terhadap perbuatannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh, sama ada hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun, dengan mengambil kira cara mangsa dibunuh yang disifatkan amat mengerikan, kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Menurutnya, mangsa dipercayai dipukul sebelum diseret melalui kawasan semak, mulutnya diikat dan lehernya dikelar seperti haiwan.
Katanya, mangsa merupakan seorang wanita yang kembali bekerja hanya enam bulan selepas melahirkan anak bagi membantu suaminya menyara keluarga.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan terhadap tertuduh bermula tarikh tangkap, 17 November 2024.






