Cicak Berkampung Dalam Rumah, Ini Cara Mudah Untuk Halau

Home & LivingLifestyle
28 Nov 2024 • 1:33 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Cicak Berkampung Dalam Rumah, Ini Cara Mudah Untuk Halau

Melangkah masuk ke dalam rumah yang bersih, dinding putih berseri tanpa sawang bergantungan dan tompokan tahi cicak pada perabot ibarat nikmat yang tidak dapat didustakan.

Kehadiran tompokan tahi cicak di dinding, ruang tingkap dan pintu bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah timbunan tahi cicak ini bakal mendatangkan penyakit buat penghuni rumah. Sudahlah ruang yang sempit sukar untuk dibersihkan, ditambah pula sisa tahi cicak melekat sehingga meninggalkan kesan.

Kepenatan membuang tahi cicak ini sebenarnya boleh dielakkan dengan satu cara iaitu menghalang kemunculan cicak di dalam rumah. Kali ini, SK ingin kongsikan dengan pembaca beberapa petua menghalau cicak dari rumah.

Antara cara yang dilihat berkesan ialah petua yang dikongsi oleh Muna Mohammad menerusi Facebook Geng Suri Rumah di bawah.

Isikan satu botol penyembur kosong dengan satu per tiga cuka makan, satu per tiga air dan satu per tiga lagi cecair basuh pinggan. Semburkan campuran ini di tepi tingkap dan pintu rumah.

“Sejak tiga minggu amalkan petua ni, sekarang tak ada sangat dah tahi cicak kat tingkap. Bolehlah kalian amalkan,” ujar Muna.

Cara ini turut disokong oleh beberapa warga maya yang mendapati berkesan mengurangkan kehadiran cicak di rumah mereka.

“Ya, tengah cuba ni. Dah dua hingga tiga minggu cuba. Alhamdulillah. Masih ada tapi sikit-sikit je. Berkurangan dah. Tapi rumah bau masam la kejap,” ujar seorang warga maya.

“Ya, menjadi. Rumah ni bebas cicak. Macam saya buat (sembur) seminggu sekali je,” kongsi seorang lagi.

Selain cara ini, Hello Doktor juga ada berkongsi lima lagi petua mengatasi masalah ini.

Pertama sekali, anda perlu mengenal pasti ruang yang menjadi ‘pintu masuk’ cicak ke dalam rumah anda. Tutup ruang-ruang tersebut termasuk rekahan kerana sifat badan cicak yang mudah lentur membolehkannya masuk melalui rekahan-rekahan kecil.

Cara kedua, anda boleh cuba gunakan bahan semula jadi sebagai penghalau cicak. Menurut Hello Doktor, cicak bencikan bau yang kuat dan pedas. Jadi, anda boleh cuba gunakan bawang merah dan bawang putih.

“Cara pertama, cuba campurkan beberapa sudu serbuk cili dalam air panas. Kemudian, sembur pada kawasan dinding, tingkap dan pintu. Selain itu, anda juga boleh kisar bawang bersama air dan gunakan campuran ini sebagai semburan. Tapi jangan sembur banyak-banyak, berbau bawang pula rumah nanti,” katanya.

Untuk menggunakan bawang putih, anda hanya perlu letakkan hirisan bawang putih di kawasan yang menjadi tumpuan cicak ‘berkampung’.

Selain itu, anda juga boleh letakkan ubat gegat di tempat tersebut.

Cara keempat mungkin tidak pernah kita tahu sebelum ini. Rupa-rupanya, campuran kopi dan tembakau beracun bagi cicak. Jangan risau, rumah anda tidak akan bersepah jika guna cara ini. Letakkan kopi dan tembakau dalam kain nipis, kemudian gantung di tempat yang banyak cicak. Atau, anda boleh juga sapukan gam pada hujung pencungkil gigi dan gaul dengan campuran kopi dan tembakau. Letakkan umpan di belakang peti ais atau almari.

Petua terakhir dan paling mudah menghalau cicak ialah kemaskan rumah yang bersepah. Cicak suka kepada tempat yang tidak terjaga. Cuba habiskan hujung minggu dengan mengemas rumah dan potong rumput. Jika tiada perubahan juga, mungkin anda perlu pertimbangkan mengupah khidmat profesional.