Kota Kinabalu: Masih ingatkah anda dengan seekor anjing bernama Cico yang tular dan menjadi terkenal pada 2020 selepas menemani seorang lelaki yang tidak mahu menyebarkan virus Covid-19 hingga sanggup berjalan kaki dari Kota Kinabalu hingga ke satu perkampungan di Kota Marudu?
Cico, anjing baka tempatan dalam entri yang ditulis oleh tuannya Alixson Awandoh, ditemui mati dipercayai dilanggar kereta pada 8 September. Bangkai Cico ditanam di atas tanah milik keluarga Alixson sehari selepas ditemui mati.
Dalam entrinya, Alixson menyuarakan rasa sedih dengan kematian anjing yang berjasa kepadanya itu bermula dengan pertemuan kali pertama mereka di Kolombong pada April 2020 sehinggalah tular kisah anjing itu yang begitu setia bersamanya selama tiga hari dua malam berjalan kaki sehingga ke Kampung Pandasam.

