CIDB tarik balik kenyataan media insiden letupan paip gas

LocalPolitics
2 Apr 2025 • 11:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan CIDB sebelum ini. Kenyataan media CIDB pada Rabu (kanan).

SHAH ALAM - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menarik semula kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu berhubung kejadian letupan saluran gas di Putra Heights.

CIDB dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut diambil bagi memastikan siasatan berjalan dengan telus tanpa mendahului proses yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“CIDB ingin memohon maaf atas sebarang kekeliruan atau kebimbangan yang tercetus akibat kenyataan tersebut, terutamanya kepada penduduk yang terkesan.

“Kami memahami kesulitan yang dihadapi dan berusaha memastikan perkara ini ditangani dengan penuh integriti serta ketelusan,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Terdahulu, Pengarah CIDB Selangor, Heryanti Hilmi dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati tiada aktiviti pembinaan dilakukan pada hari kejadian.

Beliau berkata, laporan yang diterima daripada kontraktor menunjukkan hanya terdapat kerja-kerja pembetungan di tapak pembinaan itu pada 30 Mac, manakala kerja-kerja pembersihan (housekeeping) dilakukan pada 31 Mac.

CIDB turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dalam aspek pematuhan terhadap standard keselamatan dan peraturan industri pembinaan.

“Tindakan sewajarnya akan diambil tanpa sebarang pengecualian sekiranya terdapat pelanggaran atau ketidakpatuhan terhadap peraturan sedia ada.

“Sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri pembinaan negara, CIDB memberi jaminan akan membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Kami komited untuk memastikan setiap aspek kes ini diteliti secara menyeluruh dan adil,” katanya.