Cikgu Ery meninggal dunia ketika kendali senaman

29 Nov 2023 • 1:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Allahyarham Mohd Khariri Ramli atau Cikgu Ery

image is not available

SHAH ALAM - Seorang guru yang juga pempengaruh, Mohd Khariri Ramli atau lebih mesra dipanggil Cikgu Ery meninggal dunia semasa mengendalikan senaman di Tasik Tropikana Aman Rim Bayu pada pagi Rabu.

Berita kematian Cikgu Ery yang berusia 46 tahun itu dikongsikan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tinggi, Adlin Amir Hamzah memaklumkan Allahyarham yang bertugas sebagai guru sesi petang sekolah itu dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Allahyarham meninggal dunia semasa kendalikan senaman bersama kumpulan di Tasik Tropikana Aman Rim Bayu.

"Paramedik ambulans telah sahkan kematian. Sedang menunggu kehadiran pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Keluarga arwah telah dihubungi, " menurut perkongsian di Facebook pada Rabu.

Adlin pada masa sama berharap tiada sebarang berita palsu disebarkan berkenaan kematian Cikgu Ery.

"Sila tunggu berita dari kami pihak sekolah dan rakan-rakan Cikgu Ery, " katanya.

**media[2441842]**

Cikgu Ery dahulunya dikenali sebagai Cikgu Erin banyak berkongsi mengenai kisah penghijrahannya daripada 'mak nyah' kembali kepada lelaki sejati.

Dalam pada itu, kebanyakan pengguna media sosial yang mengenali Allahyarham merakamkan ucapan takziah selain ada juga yang terkejut dengan berita pemergian yang pergi secara mengejut.

"Allahuakbar.. Innalilahiwainahirojiun...terkejut dapat perkhabaran sahabat yang baik sentiasa berzumba, berjumpa di program-program MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) telah kembali ke rahmahtullah pagi ini.

"Semoga dipermudahkan urusan pengebumian dan ditempatkan di syurga...amin," ucapan takziah dititipkan seorang pengguna media sosial, Zureen Yusof.

Sementara itu, seorang kenalan Allahyarham dikenali Muhd Putra Shukri memaklumkan jenazah Cikgu Ery dijangka dikebumikan di Ulu Kuang petang Rabu.