Cikgu Sejarah menang RM1 juta

Business & Finance
15 May 2026 • 2:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cikgu Sejarah menang RM1 juta
Munisuaran menunjukkan cek cura cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) bernilai RM1 juta yang dimenangi.
Image from: Cikgu Sejarah menang RM1 juta
Munisuaran (empat dari kiri) ditemani isteri yang juga merupakan seorang guru, G Manjula, 55, semasa majlis penyerahan cek cura cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) bernilai RM1 juta.

DISIPLIN menyimpan selama lebih satu dekad akhirnya membuahkan hasil bermakna buat seorang guru Sejarah apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) bernilai RM1 juta.

M Munisuaran, 56, yang kini mengajar di sebuah sekolah menengah di Butterworth, Pulau Pinang, menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah paling bermakna sempena sambutan Hari Guru tahun ini.

“Saya rasa ini satu keberkatan. Saya percaya Tuhan memberi kepada orang yang memberi. Saya mendidik anak bangsa dan mungkin ini ganjaran atas apa yang saya lakukan selama ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

**media[3521517]**

Penyerahan cek cura disempurnakan Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-55 di Ipoh.

Sambutan yang berlangsung selama dua hari itu bakal disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.

Munisuaran yang merupakan anak kelahiran Parit Buntar memulakan simpanan dalam BSN SSP sejak 2015 dengan deposit pertama sebanyak RM3,000.

Walaupun pernah menyimpan harapan untuk memenangi cabutan kereta, beliau mengakui kemenangan RM1 juta itu jauh melebihi jangkaannya.

"Saya anggap kemenangan ini satu simbol penghargaan kepada profesion perguruan secara keseluruhan. Jika kita konsisten dan berdisiplin dalam menyimpan, peluang itu sentiasa ada.

"Buat masa ini tiada perancangan khusus untuk menggunakan wang kemenangan ini. Mungkin saya akan tunggu sehingga pencen sebelum merancang untuk masa depan," ujarnya.

Munisuaran yang telah berkhidmat sebagai guru selama 32 tahun berkata, amalan menyimpan telah lama dipraktikkan bermula beliau menuntut di universiti sekitar tahun 1990 tanpa pernah mengeluarkan simpanan berkenaan.

“Saya simpan sedikit demi sedikit, sekitar RM100 hingga RM200 sebulan. Bagi saya, simpanan ini tidak boleh disentuh kecuali dalam keadaan terdesak. Sasaran saya memang untuk jangka panjang, sehingga 30 tahun,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu bukan sahaja diamalkan untuk diri sendiri, malah diterapkan kepada empat anaknya sejak kecil sebagai persediaan masa depan.

“Saya buka akaun dan beli sijil SSP untuk mereka. Simpanan itu digunakan untuk menampung kos pendidikan seperti yuran tuisyen dan keperluan semasa di universiti.

“Sekarang tiga daripada mereka sudah bekerja dan masih meneruskan amalan menyimpan,” katanya.