Glide Technology terima biaya RM2.5 juta

Business & Finance
4 May 2026 • 2:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Glide Technology terima biaya RM2.5 juta
Steven Sim (tiga dari kiri) menyerahkan cek cura kepada Glide Technology.

SHAH ALAM - Glide Technology Sdn Bhd menerima kemudahan pembiayaan bernilai RM2.5 juta daripada SME Bank di bawah Program MySMELady 2.0.

Pembiayaan yang diberikan di bawah inisiatif Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) itu akan disalurkan untuk pembelian peralatan makmal, peluasan mesin pengeluaran dan menaik taraf infrastruktur elektrik syarikat daripada 400A kepada 1400A.

Pelaburan ini akan menyokong pengeluaran berskala besar produk utama syarikat iaitu minyak transformer berasaskan sawit MPOB-Glide dan rangkaian produk berjenama bersama Petronas Tranol Glide.

Presiden Glide Technology, Datuk Muhazli Muhamad merakamkan penghargaan atas sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan SME Bank.

Katanya, ia memperkukuh asas yang telah dibina di Glide selama hampir dua dekad, berteraskan produk buatan Malaysia, kerjasama institusi tempatan dan aspirasi perindustrian negara.

"Kami komited untuk mengurus setiap ringgit dengan penuh tanggungjawab dan menunaikan kepercayaan yang diberikan kepada kami,”ujarnya.

Majlis Penyerahan Cek Cura disempurnakan oleh Menteri KUSKOP, Steven Sim Chee Keong.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Syarikat Glide di ibu pejabat Glide Technology di Shah Alam, Yang Amat Mulia Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Ibni Syed Putra Jamalullail.

Sementara itu, Steven Sim memberitahu, Glide Technology merupakan syarikat yang telah mencapai kejayaan dalam pembuatan berteknologi tinggi, membuktikan komitmen KUSKOP untuk membangunkan lebih banyak syarikat diterajui wanita dalam industri bernilai tinggi melalui DEWI.

Beliau berkata, syarikat itu telah membuktikan keupayaan bertaraf dunia melalui kerjasama dengan Petronas dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menghasilkan minyak penebat premium serta minyak transformer berasaskan sawit untuk kegunaan industri, di samping mengeluarkan pelincir automotif jenama tempatan pada harga kompetitif.

“Glide mewakili model syarikat yang ingin kita sokong, membina jenama kukuh, melabur dalam teknologi, membangunkan bakat dan melonjak dalam rantaian nilai.

"Ini menunjukkan ekosistem perniagaan Malaysia mampu keluar daripada perangkap beli murah, jual murah," ujarnya.