Cikgu sekolah memandu cedera diserang penunggang motosikal

13 Aug 2025 • 11:27 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Seorang cikgu sekolah memandu cedera selepas dipercayai diserang seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Muar–Batu Pahat, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 7.24 malam daripada mangsa, lelaki tempatan berusia 56 tahun.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.20 tengah hari di Taman Mutiara, Parit Sulong apabila suspek yang menunggang motosikal menahan kereta mangsa kerana tidak berpuas hati dengan cara pemanduan.

“Suspek kemudian menumbuk cermin hadapan kereta mangsa sehingga retak. Mangsa meneruskan perjalanan hingga ke hadapan Balai Polis Parit Sulong tetapi terus diekori.

“Apabila kedua-duanya keluar dari kenderaan, suspek menumbuk mangsa sehingga cedera di dahi sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baca juga:

Polis menahan suspek berusia 33 tahun di Parit Raja untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera.

Terdahulu, tular di media sosial video merakamkan penunggang motosikal mengekori kereta dipandu mangsa. Suspek juga bertindak menendang pintu kenderaan terbabit sebelum menumbuk mangsa sehingga cedera.