
PETALING JAYA: Kira-kira 300 tan cili merah yang diimport dari China dan Vietnam ke negara ini dan dijual tanpa kawalan telah menjejaskan mata pencarian lebih 4,000 petani tempatan.
Keadaan itu menyebabkan pendapatan petani merosot sehingga 26 peratus, susulan lambakan cili di pasaran dengan mereka hanya meraih keuntungan bersih dianggarkan kira-kira RM1,760 sebulan.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Dr. Ab. Razak Khasbullah mendakwa, kehadiran cili import membabitkan penglibatan 50 kartel yang bersaing sesama mereka mengganggu pasaran tempatan.
Katanya, masalah lambakan itu telah berlarutan lebih 10 tahun sehingga menjejaskan sumber pendapatan dan rantaian ekonomi petani tempatan, selain menyebabkan harga hasil pertanian tidak menentu.
“Lambakan cili import menyebabkan petani tempatan sukar bersaing, terutama apabila kos pengeluaran kami terus meningkat termasuk harga benih, baja, racun dan kos tenaga kerja.
“Bayangkan setiap hari kira-kira 20 kontena cili merah yang setiap kontena berisi 16 tan cili merah import masuk ke negara ini. Sebab itu terjadinya lambakan yang akan menjejaskan pendapatan petani tempatan. Ini sekali gus boleh memusnahkan pengeluaran tempatan untuk jangka masa panjang.
“Kalau keadaan ini berterusan, produktiviti tempatan berkurangan dan kita akan terus bergantung kepada bahan import.
“Ini amat berbahaya kerana apabila keadaan itu berlaku, pengeksport boleh memonopoli harga komoditi berikutan kita terpaksa bergantung kepada hasil import. Harga boleh melonjak lebih mahal dan kerajaan juga mungkin tidak mampu mengawalnya lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ab. Razak berkata, mekanisme kawalan harga dan pemantauan rantaian bekalan juga perlu diperkasakan supaya petani tempatan mendapat harga yang lebih adil dan tidak dipaksa menjual hasil di bawah kos pengeluaran.
“Kerajaan juga perlu memastikan kemasukan cili import tidak menjejaskan pengeluaran tempatan kerana petani memerlukan jaminan pasaran untuk terus mengusahakan tanaman ini.
“Kalau petani terus mengalami kerugian, siapa yang akan menanam cili untuk keperluan negara pada masa akan datang? Kita tidak mahu apabila berlaku krisis bekalan, negara terpaksa bergantung sepenuhnya kepada import,” katanya.
Ab. Razak menggesa kerajaan mengambil tindakan drastik bagi mengawal lambakan hasil pertanian import supaya tidak memasuki negara ini secara berlebihan.
Katanya, kawalan yang lebih berkesan penting bagi memastikan kelangsungan industri tanaman cili tempatan, selain menjamin sekuriti makanan negara dalam jangka panjang.
Dalam pada itu, penanam cili, Zainudin Misrom, 41, berkata, pendapatannya merosot secara purata sehingga 26 peratus berikutan lambakan cili import di pasaran dengan anggaran keuntungan bersih hanya RM8,800 bagi tempoh lima bulan atau purata kira-kira RM1,760 sebulan.
Katanya, kesan lambakan cili import itu paling dirasai pada awal tahun ini apabila ia dijual kepada pemborong pada harga sekitar RM3 hingga RM4 sekilogram sedangkan petani tempatan hanya menerima sekitar RM2 hingga RM2.50 sekilogram.
Menurut Zainudin, penurunan harga memberi tekanan besar kepada pengusaha cili tempatan kerana kos pengeluaran kekal tinggi, sedangkan harga jualan di peringkat ladang semakin tertekan.
Katanya, petani perlu membelanjakan kira-kira RM5 bagi setiap polibeg sedangkan hasil yang diperoleh kecil daripada jumlah tersebut.
“Penurunan harga berkenaan memberi tekanan besar kepada pengusaha cili tempatan kerana kos pengeluaran kekal tinggi, sedangkan harga jualan di peringkat ladang semakin tertekan,” katanya. – UTUSAN
The post Cili import ‘bunuh’ 4,000 petani tempatan appeared first on Utusan Malaysia.

