CIMB Islamic labur lebih RM3 juta bagi manfaat 500 peserta program keusahawanan
zulfadli
26/07/2023 - 12:14
KUALA LUMPUR 26 Julai - Kerjasama CIMB Islamic Bank Bhd dengan Taylor’s Education Group melalui Program Keusahawanan CIMB Islamic-Taylor’s sejak 2017 memberi manfaat kepada seramai 500 peserta dengan kos pelaburan melebihi RM3 juta merangkumi latihan dan pemantauan, serta pemberian geran.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, memupuk pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah sangat penting untuk memastikan daya tahan usahawan mikro dalam mengharungi ekosistem perniagaan yang mencabar.
Beliau berkata, pihaknya berbesar hati untuk memperkenalkan edisi khas yang menyasarkan usahawan bakeri dari rumah yang dapat memanfaati ilmu daripada modul yang diberikan melalui Program Keusahawanan CIMB Islamic-Taylor’s.
Katanya, mereka sangat gembira kerana dapat melihat sokongan utuh yang diberikan para alumni terhadap peserta baharu melalui perkongsian pengetahuan dan pengalaman yang mereka perolehi.
"Ini merupakan dorongan utama untuk menjadikan program ini berdaya tahan dengan sendirinya pada masa akan datang. Kami berharap program ini akan terus membantu menaikkan taraf hidup para peserta, di samping menjadi pembakar semangat untuk mereka terus mengembangkan perniagaan mereka.
"Ini adalah selaras dengan prinsip pengantaraan berasaskan nilai (VBI) yang mana kami memainkan peranan utuh demi menjana usaha berimpak positif jangka panjang yang memberi manfaat terhadap masyarakat dan komuniti sekeliling," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, CIMB Islamic mengumumkan permulaan Program Keusahawanan CIMB Islamic-Taylor’s dengan edisi khas untuk usahawan bakeri dari rumah daripada golongan asnaf dan B40.
Melalui kerjasama dengan Taylor’s dan disokong Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, edisi keenam ini akan memberi para peserta pendedahan terhadap latihan teknikal dan ilmu perniagaan untuk meningkatkan kualiti produk bakeri sedia ada mereka, di samping menerokai idea baharu mengembangkan perniagaan mereka agar dapat memasuki pasaran perniagaan yang lebih luas.
Melalui modul yang dicipta khas untuk para peserta, mereka akan diberikan akses kepada dapur bertaraf komersial yang merupakan sebahagian daripada program ini dan akan diberikan peluang untuk mendapat bimbingan daripada chef yang berpengalaman dari Taylor’s Culinary Institute.
Di samping memperoleh kemahiran teknikal dan ilmu perniagaan, peserta juga akan dibekalkan dengan peralatan dapur bernilai RM500 di permulaan program untuk memastikan agar mereka dilengkapi dengan peralatan secukupnya untuk mengikuti latihan amali.
Tambahan pula, mereka akan diberi suntikan typhoid yang merupakan sebahagian daripada pembelajaran asas keselamatan dan pengendalian makanan.
Ia merupakan sebahagian daripada pembelajaran asas mengenai kaedah keselamatan dan pengendalian makanan yang akan memberi peserta pendedahan tentang piawaian pengendalian makanan, termasuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai risiko kesihatan berkaitan dengan makanan.
Program Keusahawanan CIMB Islamic-Taylor’s merupakan inisiatif tahunan yang bertujuan untuk memperkasakan usahawan mikro yang terdiri daripada komuniti yang memerlukan dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka melalui program pembinaan kapasiti dan sokongan pembiayaan.
Edisi khas usahawan bakeri dari rumah ini adalah susulan tamat program kumpulan kelima yang menyaksikan seramai 33 usahawan menamatkan program tersebut dan geran berjumlah RM154,817 telah diagihkan. - DagangNews.com


