CIMB lantik bekas Pengerusi Eksekutif SC, Syed Zaid Albar sebagai Pengerusi Kumpulan berkuat kuasa 20 Julai 2025

LocalBusiness & Finance
16 Jun 2025 • 6:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CIMB lantik bekas Pengerusi Eksekutif SC, Syed Zaid Albar sebagai Pengerusi Kumpulan berkuat kuasa 20 Julai 2025

image is not available

16/06/2025 - 18:05

Datuk Syed Zaid Albar Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Jun - CIMB Group Holdings Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Syed Zaid Albar sebagai Pengerusi Kumpulan baharu berkuat kuasa 20 Julai 2025.

Beliau akan menggantikan Tan Sri Mohd Nasir Ahmad yang akan bersara daripada lembaga pengarah pada 19 Julai 2025.

Sebagai persediaan untuk peralihan itu, Syed Zaid akan dilantik terlebih dahulu sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif pada 18 Jun 2025.

Mohd Nasir, yang mewakili Lembaga Pengarah CIMB berkata, pihaknya berbesar hati menyambut pelantikan Syed Zaid sebagai Pengerusi Kumpulan yang baharu.

"Pengalaman luas Syed Zaid dalam bidang undang-undang, kewangan dan pematuhan akan membantu kumpulan melaksanakan pelan pertumbuhan Forward30," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Novan Amirudin berkata, pihak pengurusan mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada Syed Zaid atas pelantikannya sebagai Pengerusi CIMB.

"Kami berharap beliau dapat membimbing kami melaksanakan pelan strategik Forward30 untuk enam tahun akan datang, yang memberi fokus kepada pelanggan dan masyarakat.

"CIMB mahu menjadi bank pilihan utama di ASEAN dengan sentiasa mendekati dan memahami keperluan pelanggan," jelasnya.

Beliau pada masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada Mohd Nasir Ahmad atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat.

Syed Zaid ialah pengasas bersama firma guaman Albar & Partners dan memiliki pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang guaman dan kewangan.

Beliau dikenali dalam pasaran modal Malaysia, terutamanya dalam bidang pembiayaan hutang dan ekuiti termasuk kewangan Islam.

Pada tahun 2018, beliau meninggalkan bidang guaman untuk menyertai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebagai Pengerusi Eksekutif sehingga pertengahan 2022.

Sepanjang tempoh itu, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh tadbir urus dan pembangunan pasaran modal negara.

Beliau juga mewakili SC dalam Jawatankuasa Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaporan Kewangan.

Di peringkat antarabangsa, beliau pernah menjadi ahli lembaga beberapa organisasi seperti Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) dan Forum Pasaran Modal ASEAN.

Pada awal 2023, Syed Zaid kembali ke Albar & Partners sebagai rakan kongsi kanan, dengan peranan sebagai penasihat dan mentor profesional.

Selain itu, beliau juga pernah menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat tersenarai awam seperti Yinson Holdings, Cycle & Carriage Bintang, Malaysian Pacific Industries dan MBSB. - DagangNews.com

standard