CIMB perkukuh komitmen sediakan pembiayaan fleksibel untuk PKS yang memerlukan
zulfadli
26/06/2023 - 12:36
KUALA LUMPUR 26 Jun - CIMB Group Holdings Bhd mengukuhkan komitmennya menyokong pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan memperluaskan bantuan pembayaran yang mudah dan fleksibel untuk menggalakkan daya tahan kewangan jangka panjang mereka.
CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd terus menyediakan rumusan pembiayaan komprehensif dengan struktur pembayaran balik yang fleksibel dan berperingkat sebanyak 25% dan 50% daripada ansuran bulanan sedia ada, sehingga 12 bulan melalui proses permohonan lancar dan kelulusan dengan dokumentasi minimum yang diperlukan.
Di samping itu, bank juga mampu menyediakan PKS dengan pembayaran penstrukturan semula dan penjadualan semula (R&R) untuk memenuhi obligasi/komitmen pembayaran balik mereka.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial Kumpulan CIMB, Ahmad Shazli Kamarulzaman berkata, pihaknya menyedari kepentingan PKS sebagai penyumbang penting ekonomi dan cabaran yang dihadapi mereka.
"Sebagai sebuah institusi kewangan, kami komited untuk memudahkan dan menyokong kewangan dan daya tahan pelanggan kami dalam peralihan ke arah pemulihan ekonomi.
"Oleh itu, kami ingin meyakinkan pelanggan kami bahawa bantuan kewangan tersedia untuk membantu mereka mengharungi tempoh ini dan menyokong kemampanan dan daya maju perniagaan mereka," katanya dalam kenyataan media di sini.
Sehingga Mei 2023, CIMB telah menyediakan bantuan pelepasan bayaran kewangan berjumlah lebih daripada RM1 bilion nilai pinjaman kepada peminjam PKS.

Mengenai bantuan kewangan, PKS boleh menghubungi Pusat Panggilan Perniagaan CIMB di 1300 888 828 (Tempatan) dan +603 2297 3000 (Luar Negara) dari Isnin hingga Jumaat mulai 7 pagi hingga 7 malam dan Sabtu pada 8 pagi hingga 5 petang (tidak termasuk cuti umum).
Sebagai alternatif, pelanggan PKS boleh menghantar permohonan mereka secara dalam talian melalui www.cimb.com.my/frap atau sme.paymentassistance@cimb.com.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cimb.com.my/business. - DagangNews.com
