CIMB Securities naik taraf saham Hap Seng Plantations kepada 'beli' susulan susut harga

28/05/2025 - 15:49
Gambar/Hap Seng Plantations Holdings Bhd Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 28 Mei - CIMB Securities menaik taraf saranan Hap Seng Plantations Holdings Bhd kepada 'beli' daripada 'pegang', susulan penurunan harga saham baru-baru ini yang menjadikannya lebih menarik untuk pelabur.
Firma penyelidikan tersebut mengekalkan harga sasaran pada RM2.02 sesaham.
"Nilai semasa syarikat ini sangat menarik. Ini kerana nilai ladang sawit yang telah ditanam dianggarkan hanya RM25,000 sehektar, lebih rendah daripada anggaran kos penanaman semula sebanyak RM30,000 sehektar," katanya dalam satu nota kajian.
Bagaimanapun, CIMB Securities menjangkakan keuntungan suku kedua akan sedikit lemah berikutan penurunan harga purata minyak sawit mentah (MSM) kepada RM4,319 satu tan pada April 2025, berbanding RM4,723 satu tan pada suku pertama tahun kewangan semasa.
Katanya, penurunan itu bagaimanapun sebahagiannya akan diimbangi oleh kenaikan pengeluaran buah tandan segar (BTS).
Pada April lalu, Hap Seng mencatat pengeluaran BTS sebanyak 51,387 tan, meningkat 8.8% berbanding bulan sebelumnya dan 12.5% lebih tinggi berbanding April tahun lalu.
"Kami percaya saham ini berpotensi dinilai semula berdasarkan nilai ladang yang masih rendah, kedudukan tunai bersih kukuh sebanyak RM585 juta dan unjuran dividen antara 4.6% hingga 5.5% dari tahun 2025 hingga 2027," jelasnya.
Penilaian semula itu dibuat selepas pengumuman prestasi kewangan suku pertama Hap Seng baru-baru ini.
Syarikat melaporkan keuntungan bersih teras sebanyak RM39 juta bagi 1QFY25, naik 60.5% berbanding tempoh sama tahun lalu, namun menurun 35.5% berbanding suku sebelumnya.
Bagaimanapun, prestasi tersebut seiring dengan jangkaan oleh CIMB Securities dan penganalisis pasaran, masing-masing pada 29% dan 25% daripada unjuran tahunan.
CIMB juga berkata, pengeluaran BTS menurun 11% berbanding tahun lalu dan 27% berbanding suku sebelumnya akibat cuaca hujan di ladang Hap Seng.
Keadaan itu menyebabkan syarikat gagal mencapai sasaran peningkatan pengeluaran BTS sebanyak 9% pada 2025. - DagangNews.com
standard
