Saham Eco-Shop naik 10.6% kepada RM1.25 pada penampilan sulung di Pasaran Utama

LocalBusiness & Finance
23 May 2025 • 10:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham Eco-Shop naik 10.6% kepada RM1.25 pada penampilan sulung di Pasaran Utama

image is not available

23/05/2025 - 10:53

KUALA LUMPUR 23 Mei - Saham Eco-Shop Marketing Bhd dibuka pada harga RM1.25 sen atau 10.6% lebih tinggi berbanding tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.13 sen pada penampilan sulung di Pasaran Utama, Bursa Malaysia, hari ini.

Kaunter tersebut merupakan saham paling aktif didagangkan pada pembukaan pasaran, dengan lebih 25 juta saham bertukar tangan.

Penyenaraian yang meraih RM392.11 juta, merupakan IPO terbesar di Malaysia dalam tempoh sembilan bulan lalu.

Eco-Shop merupakan syarikat ke-22 yang disenaraikan di Bursa Malaysia tahun ini, menyerlah IPO lain yang disenaraikan sebelum ini khususnya sejak penyenaraian Pantech Global Bhd pada 3 Mac 2025.

Penyenaraian itu memberikan kedai runcit rantaian harga tetap itu modal pasaran sebanyak RM6.49 bilion berdasarkan harga IPO.

Pada harga pembukaan RM1.25 sesaham, modal pasaran Eco-Shop meningkat kepada kira-kira RM7.18 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng berkata, deengan modal yang dipertingkatkan, pihaknya kini berada dalam situasi yang lebih baik untuk meningkatkan pertumbuhan dan kedudukan dalam pasaran.

"Kami akan terus mengembangkan jejak kami di seluruh negara, memperkukuh keupayaan pergudangan dan pengedaran, serta melabur dalam teknologi untuk menambah baik operasi dan pengalaman pelanggan selain janji kami untuk menawarkan nilai harian yang tiada tandingan," katanya dalam satu kenyataan.

Diasaskan pada 2003, Eco-Shop mengendalikan 349 cawangan di seluruh Malaysia setakat Mac 2025, menawarkan barangan harian seperti snek, perkakas dapur dan keperluan rumah.

Jenama ini dikenali dengan model harga tetapnya, iaitu RM2.60 di Semenanjung Malaysia dan RM2.80 di Malaysia Timur yang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna yang peka terhadap harga.

Syarikat ini merancang untuk membuka 70 kedai baharu tahun ini, mewakili pengembangan sebanyak 19.6 peratus dalam rangkaian kedainya — melebihi kadar pengembangan MR DIY sebanyak 12.9% dan 99 Speed Mart sebanyak 5.9%, menurut satu laporan.

Hasil daripada IPO itu akan digunakan bagi membiayai pembinaan pusat pengedaran separa automatik di Klang dan menyokong pembukaan kedai-kedai baharu.

Dalam keputusan suku tahunan terkininya yang berakhir pada 28 Februari 2025, Eco-Shop melaporkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 45% kepada RM61.72 juta, manakala hasil pendapatan meningkat 17.2% kepada RM736.35 juta. - DagangNews.com

standard