CIMB Securities unjur pertumbuhan pendapatan kukuh Insights Analytics dengan saranan ‘beli’

LocalBusiness & Finance
5 Jan 2026 • 4:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CIMB Securities unjur pertumbuhan pendapatan kukuh Insights Analytics dengan saranan ‘beli’ image is not available haziq05/01/2026 - 16:04 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Jan – Insights Analytics Bhd dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang kukuh dalam tempoh tiga tahun akan datang, menurut CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan syarikat berpangkalan di Sarawak yang terlibat terutamanya dalam penyediaan sistem pengurusan aset kepada utiliti air berpotensi berkembang pada kadar purata 52% setahun bagi tiga tahun kewangan akan datang.

 

Pada masa sama, margin kasar dijangka kekal stabil antara 52% hingga 58%.

 

“IAB berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan bagi mengurangkan kehilangan air tidak berhasil serta usaha pendigitalan utiliti air,” kata CIMB Securities dalam nota penyelidikannya sambil memulakan liputan dengan saranan ‘beli’.

 

Liputan itu menandakan permulaan analisis berkala pertama terhadap Insights Analytics sejak penyenaraiannya pada Oktober 2025. 

 

Saham syarikat melonjak setinggi 33 sen atau 29% kepada RM1.46 iaitu had kenaikan harian. 

 

Pelabur yang membeli saham semasa tawaran awam permulaan (IPO) dan terus memegangnya kini telah menikmati pulangan lebih empat kali ganda.

 

Malaysia sebelum ini mengenal pasti inisiatif menangani isu kehilangan air tidak berhasil iaitu air terawat yang tidak sampai kepada pengguna dan gagal dibilkan, sebagai antara keutamaan di bawah Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air 2040 serta Belanjawan 2026.

 

Insights Analytics kini turut memperluaskan keupayaan analitik dan internet-of-things (IoT) melepasi sektor utiliti air kepada sektor lain seperti pengangkutan, pembinaan dan hospitaliti, iaitu segmen yang mencatat margin kasar setinggi 77% kepada syarikat.

 

“Trend ini menunjukkan momentum pendapatan yang berterusan serta peningkatan keterlihatan aliran tunai apabila model dwi-enjin IAB terus berkembang,” kata CIMB Securities.

 

Dari segi penilaian, firma penyelidikan itu menyifatkan penilaian semasa Insights Analytics sebagai tidak menuntut, berbanding harga sasaran RM2.10.

 

Ia turut menekankan faktor premium kekurangan, memandangkan syarikat itu merupakan satu-satunya syarikat tersenarai di Malaysia yang berstatus ‘pure-play’ dalam bidang air digital dan pengurusan aset pintar.

 

“Sebagai syarikat IPO yang baharu disenaraikan, kami percaya IAB masih dinilai rendah kerana pasaran belum sepenuhnya mengambil kira profil pendapatan dwi-enjinnya, yang menggabungkan pelaksanaan projek teknologi air dengan platform digital berskala dan bermargin lebih tinggi,” tambah CIMB Securities. - DagangNews.com

Terkini standard