Malacca Securities unjur pendapatan Semico Capital tumbuh kukuh, kekalkan saranan ‘beli’

Business & Finance
5 Jan 2026 • 10:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malacca Securities unjur pendapatan Semico Capital tumbuh kukuh, kekalkan saranan ‘beli’ image is not available haziq05/01/2026 - 10:25 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Jan – Semico Capital Bhd dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang kukuh dalam tempoh tiga tahun akan datang, menurut Malacca Securities.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) pendapatan selama tiga tahun sebanyak 23.1%, dengan keuntungan bersih Semico dianggarkan mencecah antara RM8.5 juta hingga RM11.3 juta sepanjang tempoh berkenaan.

 

Menurut Malacca Securities dalam nota penyelidikannya, pertumbuhan itu disokong oleh penggunaan berterusan hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi menambah mesin arked dan permainan hiburan, peningkatan populariti mainan serta barangan koleksi tertentu, selain pegangan hak pengedaran eksklusif.

 

Semico Capital merupakan pengedar sah mesin arked dan hiburan di Malaysia, dengan hak pengedaran eksklusif bagi jenama Dreamfuns dan Superwing, selain perjanjian pengedaran sah bersama ACE Amusement, UNIS, Jakar dan DOF Robotics.

 

Firma itu berkata, pengedaran eksklusif berkenaan membolehkan Semico menikmati kelebihan perolehan secara pukal, sekali gus menyumbang kepada margin yang lebih kukuh serta mengurangkan tekanan persaingan.

 

Dalam pada itu, Malacca Securities berkata segmen mainan dan koleksi kumpulan menawarkan portfolio yang pelbagai merangkumi 68 jenama di Malaysia, dengan jenama popular seperti Pop Mart, Funism, Jotoys dan ToyCity sebagai tunjang utama.

 

Disokong prestasi kukuh Pop Mart, firma itu memaklumkan segmen berkenaan telah mencatat CAGR hasil tiga tahun sebanyak 82.5% sejak tahun kewangan 2022 (FY22).

 

“Momentum pertumbuhan dijangka kekal kukuh, dengan Protégé Associates mengunjurkan pasaran mainan pop Malaysia berkembang pada CAGR 28.9% dari 2024 hingga 2029.

 

“Semico Capital kini menguasai anggaran 8.8% bahagian pasaran mainan pop Malaysia pada 2025,” katanya.

 

Secara keseluruhan, Malacca Securities berkata walaupun penembusan Semico dalam segmen hiburan keluarga masih sederhana, kumpulan itu berada pada kedudukan baik untuk terus mengembangkan bahagian pasaran.

 

Ini akan disokong oleh hubungan pengedaran yang telah mantap, peluasan kapasiti berterusan hasil dana IPO, serta peningkatan permintaan terhadap mainan pop dan barangan koleksi.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan “Beli” dengan nilai saksama 35 sen sesaham bagi Semico Capital, yang mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 40.0% daripada harga saham semasa 25 sen. - DagangNews.com

Terkini standard