CIMB tingkat sasaran kewangan lestari kepada RM100 bilion menjelang 2024

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2023 • 12:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CIMB tingkat sasaran kewangan lestari kepada RM100 bilion menjelang 2024

diyana

11/09/2023 - 12:10

KUALA LUMPUR 11 Sept - CIMB Group Holdings Bhd telah meningkatkan sasaran kewangan lestarinya kepada RM100 bilion menjelang 2024, jumlah yang lebih besar berbanding sasaran terdahulu sebanyak RM60 bilion pada 2022 dan matlamat awal RM30 bilion yang ditetapkan pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata sasaran kewangan lestari berkenaan ditingkatkan memandangkan ia telah menjangkaui matlamat sebelum ini dengan menghampiri RM70 bilion ketika ini.

“Berikutan peningkatan kesedaran dan penggunaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kami telah menyaksikan kewangan lestari meningkat pantas di seluruh pasaran yang dikendalikan oleh kami, menjangkaui jangkaan kami.

“Oleh itu, saya dengan sukacitanya hari ini mengumumkan bahawa kami akan meningkatkan lagi komitmen kewangan lestari kepada RM100 bilion menjelang 2024, lebih tiga kali ganda sasaran asal yang ditetapkan kami dua tahun lalu,” kata Abdul Rahman dalam ucapan ucapannya di Sidang Kemuncak Kelestarian Bumi Lebih Sejuk 2023 hari ini.

Abdul Rahman berkata sasaran yang ditingkatkan itu adalah bagi mewujudkan impak positif sejajar dengan kerangka Perkhidmatan dan Produk Berimpak Kelestarian, Sosial serta Hijau (GSSIPS).

image is not available
Datuk Abdul Rahman Ahmad

Bagi memacu komitmen tersebut, beliau berkata, CIMB akan terus memperkenalkan dan mempromosi penyelesaian inovatif bagi menyokong matlamat dan cita-cita pelanggan beralih kepada masa depan yang lebih hijau dan lestari.

Tambahnya, CIMB juga akan terus membuat penambahbaikan pada hala tuju peralihannya sendiri, memandangkan bank tersebut proaktif merangka pelan pengurangan pelepasannya bagi mencapai sasaran sifar bersihnya menjelang 2050, termasuk pelepasan dibiayai Skop 3.

“Selain menambah baik prestasi pelepasan Skop 1 dan 2, kami telah menyelesaikan latihan asas bagi pelepasan dibiayai yang timbul daripada pembiayaan kunci kira-kira untuk semua segmen di Malaysia dan Indonesia, serta menetapkan sasaran iklim sementara kami untuk sektor arang batu dan simen,” ujar beliau

Di samping itu, beliau berkata bank terbabit kini sedang berusaha menetapkan sasaran iklim untuk baki sektor berintensif karbon yang dikenal pasti dan merangka strategi peralihan bagi pelanggan dalam sektor berkenaan. - DagangNews.com