Beshom berdepan sentimen lemah pengguna, CGS-CIMB turunkan unjuran pendapatan sesaham bagi FY25-26 sehingga 17%
diyana
11/09/2023 - 10:38
KUALA LUMPUR 11 Sept - Unjuran pendapatan sesaham (EPS) Beshom Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2025 dan 2026 (FY25-26) dikurangkan sebanyak 14% hingga 17% berikutan persekitaran perbelanjaan pengguna lebih perlahan akibat peningkatan inflasi dan kecekapan operasi yang lebih rendah.
CGS-CIMB Securities berkata jualan MLM kumpulan tersebut, yang sebelum ini dikenali sebagai Hai-O, telah menjunam dengan ketara sebanyak 59% semenjak 2021 dan purata perbelanjaan ahlinya pada suku kedua tahun ini telah menurun kepada kira-kira RM400 hingga RM500 sebulan berbanding sekitar RM1,000 sebulan pada 2021.
“Pada pandangan kami, jualan MLM Beshom yang merosot menyebabkan risiko penurunan semakin meningkat — jika produknya dilihat sukar untuk dijual, ahli menjadi semakin tidak mahu memegang produknya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Namun, firma penyelidikan itu berkata ia percaya jualan pemasaran pelbagai tingkat (MLM), jika ada, hanya akan dilihat dari FY25 dan seterusnya, yang timbul daripada gaji lebih tinggi dan rangsangan kerajaan yang lain.
“Bagaimanapun, kami percaya manfaat daripada dasar sedemikian, jika ada, hanya akan memberi impak kepada pendapatan pada FY25-26.
“Kami menganggarkan setiap peningkatan pendapatan RM50 juta setahun akan mencerminkan peningkatan 25% hingga 27%, kira-kira RM5.3 juta kepada unjuran keuntungan bersih teras FY25-26 kami,” jelasnya.
Menurut CGS-CIMB Securities, segmen runcit dan borong dijangka pertumbuhan pendapatan yang mendatar pada masa akan datang, sejajar dengan trend terdahulu.
“Dari segi sejarah, bahagian borong dan runcit mempunyai prestasi yang stabil, masing-masing menyumbang pendapatan sekitar RM60 juta dan RM40 juta setahun.
“Kami menjangkakan pendapatan ini akan menyaksikan pertumbuhan angka rendah yang stabil pada masa hadapan, didorong i) insentif jualan yang disemak semula, ii) kempen promosi, dan iii) peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa pada FY24,” katanya.
Firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) 99 sen sesaham.
Setakat 10:34 pagi ini, saham Beshom tidak berubah pada RM1.01, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM303.1 juta. Saham kumpulan telah merosot 28% setakat tahun ini. - DagangNews.com

