
Cinta membawa Norazlin Manaf sejauh 9,500 kilometer dari Kuala Lumpur ke Prague.
Sekalipun rindu terhadap keluarga dan rakan-rakan di tanah air sentiasa bertampuk, demi mahligai rumah tangga yang dibina pada Mac 2022, beliau menuruti suaminya, Martin Knap menetap di bumi Republik Czech.
Hubungan mereka bermula saat Norazlin bercuti di negara itu pada 2018. Jarak jauh atas dasar kerjaya tidak menghalang perasaan tumbuh lalu menyelinap ke hati masing-masing. Cinta pun bersemi. Sesekali mereka bertemu di Singapura atau Dubai, Emeriah Arab Bersatu.
“Kami mula kenal pada November 2018. Waktu itu saya ke Republik Czech untuk bercuti. Saya masih bekerja di Singapura. Kami berkahwin pada Mac 2022,” katanya kepada Media Selangor.
Perpindahan ke Prague mengubah haluan kehidupan Norazlin. Selain perihal hubungan cinta dan rumah tangga, kerjayanya juga berkembang. Beliau ditawarkan menguruskan projek di Eropah usai tugasan di rantau Asia. Tanpa berfikir panjang, beliau berkelana ke Prague pada 2020.
Bahasa antara cabaran awal hubungan mereka ekoran suaminya pada masa itu tidak fasih berbahasa Inggeris. Justeru, Norazlin mempelajari bahasa Czech bagi menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.
“Bahasa memang cabaran pertama sebab masa kami berjumpa, suami saya tidak fasih bahasa Inggeris. Tetapi saya nampak usaha dia. Selepas kami berkenalan, dia memang fokus belajar bahasa Inggeris dan sekarang sudah fasih,” katanya yang bekerja sebagai pakar perniagaan sumber manusia di Commerzbank.

Masakan pedas
Proses mengenali dunia masing-masing tidak terhenti selepas berkahwin. Suaminya mula didedahkan kepada budaya Melayu dan kehidupan masyarakat Islam. Norazlin pula menelusuri budaya hidup masyarakat Czech.
Makanan menjadi jambatan yang mendekatkan suaminya dengan budaya Malaysia. Setiap kali berkumpul bersama rakan-rakan Malaysia di Prague, aneka juadah tempatan dimasak dan diperkenal.
Dari sekadar mencuba, suaminya mula menggemari makanan Malaysia termasuk hidangan pedas.
“Bila berkumpul dengan kawan-kawan Malaysia, masa itulah kami selalu masak makanan Malaysia. Jadi dia cuba macam-macam makanan dan makan pedas.
“Lama-kelamaan dia suka makan pedas, suka makanan Malaysia. Sekarang kalau saya masak tak pedas, dia pula tanya, ‘Kenapa tak pedas?’ Saya pula makin jarang makan pedas,” kata wanita berusia 43 tahun itu.
Kehidupan di Republik Czech juga membawa Norazlin kepada gaya hidup berbeza masyarakat di sana termasuk tabiat pemakanan dan cara menghabiskan masa lapang.
Hujung minggu misalnya tidak dihabiskan di pusat beli-belah, sebaliknya penuh dengan kegiatan seperti mendaki dan menikmati alam semula jadi yang kini sebahagian rutin beliau.
“Kita belajar banyak perkara antara satu sama lain. Ada cabaran tetapi ada juga kelebihannya. Kalau di Malaysia, saya tidak pergi mendaki tetapi di sini ia menjadi sebahagian kehidupan,” kata anak jati Kajang itu.
Kepulangan mereka ke Malaysia membuka ruang buat Martin Knap melihat sendiri corak kehidupan masyarakat Melayu dan Islam yang sebelum ini hanya didengar melalui celoteh isterinya.
Ramadan dan Aidilfitri antara waktu penting untuk Norazlin memperkenal suasana berpuasa, sambutan perayaan serta tradisi keluarganya.
“Bulan puasa, raya, masa itulah kita nak tunjuk budaya dan agama kita. Masa itu dia dapat nampak kehidupan sebenar kita di Malaysia.
“Dia cuba macam-macam. Masa di Malaysia, dia cuba buat ketupat dengan mak saya dan makan semua jenis makanan yang kita ada. Lemang pula memang kegemarannya,” katanya.
Pengalaman itu menjadikan proses memahami budaya berlangsung dalam dua hala. Ketika Norazlin menyesuaikan diri dengan kehidupan di Prague, suaminya sedikit demi sedikit mengenali budaya dan budaya masyarakat Malaysia.
Apabila memiliki anak, usaha menemukan dua budaya itu memasuki tahap berbeza ekoran bahasa, agama dan identiti mula menjadi perhatian.
Anaknya yang berusia tiga tahun membesar dalam persekitaran bahasa Czech sebagai bahasa utama selain bahasa Inggeris. Namun Norazlin sentiasa memastikan bahasa Melayu tidak dilupakan.
“Kalau ada peluang untuk bercakap bahasa Melayu, memang saya cakap bahasa Melayu. Sekarang dia sudah faham banyak benda, cuma belum boleh membentuk satu ayat penuh dalam bahasa Melayu,” katanya melalui telefon.
Menurut Norazlin yang enam tahun menetap di Prague, pendidikan agama juga diterap sejak kecil kepada anaknya dengan memperkenal huruf hijaiyah dan surah pendek.
Namun, beliau mengakui usaha untuk memastikan anaknya memahami identiti Melayu lebih mencabar lantaran mereka membesar jauh daripada suasana kehidupan di Malaysia.
“Dia (anak) cuma nampak saya. Dia tidak nampak budaya kita yang sebenar dan bagaimana cara kita hidup di Malaysia.
“Kita boleh ajar sebanyak yang mampu tetapi untuk dia melihat keadaan sebenar itu memang susah. Jadi dari segi identiti, saya rasa saya kena berusaha lebih,” katanya.
Kesukaran mendapatkan bahan bacaan berbahasa Melayu di Prague antara sebab separuh beg dipenuhi buku khususnya berkaitan agama seperti Iqra’ setiap kali pulang ke Malaysia.
Walaupun terpaksa membayar lebih caj timbangan berat beg, Norazlin rela ekoran itu sahaja peluang untuknya memperoleh bahan bacaan tempatan.
Sebagai anak jauh di perantauan, jati diri sebagai anak Malaysia tidak pernah dilupa. Hidup dalam persekitaran berbeza mengajar wanita itu menerima budaya pasangannya. Namun, ia bukan bermaksud seseorang perlu mengikut segala-galanya.
“Kita kena hormat budaya dan cara hidup mereka. Tidak semestinya apabila kita hormat, kita kena ikut semuanya. Kita kena terbuka dan belajar. Pada masa sama, kita jangan lupa akar kita sendiri. Pegangan kita kena kuat, terutama dalam soal agama,” katanya.

Aroma kari dan hirupan rasam
Di Gombak, Selangor, tercoret kisah perkahwinan yang menemukan budaya Melayu dan India dalam sebuah keluarga. Perkenalan Nur Fakhira Azman, 32, dan suaminya Muhammad Shahrul William Abdullah melalui media sosial pada 2018 membawa mereka ke gerbang perkahwinan.
Suaminya yang sebelum itu beragama Kristian memeluk Islam sejak berusia 18 tahun, kira-kira 12 tahun sebelum mereka berkenalan. Namun, walaupun berkongsi akidah, Nur Fakhira mengakui sukar untuk meyakinkan keluarga untuk menerima menantu daripada kaum berbeza.
“Agak susah untuk yakinkan keluarga kerana kami berbeza bangsa walaupun berkongsi agama sama. Keluarga risau bagaimana hendak menyesuaikan diri dengan keluarga suami,” katanya.
Kebimbangan tersebut bagaimanapun semakin terlerai selepas keluarganya mengenali suami dengan lebih dekat.
Dalam kehidupan seharian, budaya Melayu lebih banyak diamal terutama semasa Ramadan, Aidilfitri dan Aidiladha, namun tradisi India tidak pula dibuang. Malah, bahasa Tamil diperkenal suaminya kepada anak kedua mereka. Di sebalik kerancuan itu pula, makanan antara faktor yang mendekatkan kedua-dua budaya tersebut.
“Kebanyakan budaya memang lebih kepada budaya Melayu. Untuk bahasa, suami ada kenalkan bahasa Tamil kepada anak kedua. Makanan pun banyak Melayu tetapi kami lebih kepada kari. Kari gaya India saya belajar. Malah ibu saya pun belajar masak rasam (sup tradisional) untuk suami.”
Minat terhadap nasi daun pisang dan filem Tamil turut mendekatkan Nur Fakhira dengan budaya suaminya, bahkan bahasa Tamil pula bukan sesuatu yang asing dalam kehidupan seharian di negara ini.
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Begitu juga dalam rumah tangga. Ada kalanya, tercetus salah faham kecil ketika berselisih pendapat.
“Kalau tiba-tiba tengah ada salah faham dengan dia, dia cakap dalam bahasa Tamil, saya tak faham. Jadi saya rasa macam dia cakap sesuatu yang buruk tentang saya. Tapi tak adalah sampai menjurus kepada perkara negatif, cuma salah faham macam itu saja,” selorohnya.
Pertukaran budaya dalam keluarga itu juga tidak berlaku sebelah pihak sahaja malah suaminya turut melalui sendiri pengalaman dan tradisi dalam sesebuah keluarga Melayu-Islam.
Antaranya pengalaman mengikuti proses ibadah korban ketika Aidiladha, manakala Aidilfitri dirai meriah bersama keluarga isterinya setiap tahun.
“Suami saya dapat pengalaman korban lembu masa raya korban, daripada mula sampai akhir. Masa itu keluarga kami buat korban,” kongsinya.
Nur Fakhira yang juga usahawan bakeri mengakui perkahwinan itu membuka ruang kepadanya untuk mengenali lebih dekat budaya hidup kaum lain.
“Saya memang suka makanan India. Kalau cerita Tamil pun memang saya minat. Ada bahagian yang saya tidak faham, saya akan minta suami terangkan,” katanya.
Seperti keluarga Norazlin di Prague, kehadiran anak membawa cabaran tetapi agak berbeza buat Nur Fakhira dalam menyesuaikan dua latar keluarga.
Mereka sebelum ini lebih kerap menyertai pertemuan keluarga sebelah suami tetapi keadaan berubah apabila anak sulung kian membesar dan mula bertanya perkara yang berlaku di sekeliling.

Menurut Nur Fakhira, cabaran bukan terletak pada perbezaan kaum, sebaliknya bagaimana mahu menerangkan perbezaan agama termasuk soal halal dan haram kepada anak yang masih kecil.
“Anak pertama banyak bertanya. Semua benda dia hendak tahu. Kita kena cari cara untuk terangkan kepada dia, takut kadang-kadang kita salah terangkan mengenai halal haram, apa yang boleh dan tidak boleh.
“Mungkin bila dia sudah besar sedikit, kita boleh lebih banyak bersama keluarga sebelah suami semula,” kata ibu kepada dua cahaya mata lelaki itu.
Dalam soal bahasa, pasangan berkenaan memilih menggunakan bahasa Melayu dengan anak sulung ketika kecil disebabkan kelewatan pertuturan. Anak kedua pula boleh bertutur sedikit demi sedikit dan memahami bahasa Tamil.
Bagi Nur Fakhira, pengalaman berumah tangga dengan pasangan berlainan kaum bukan sekadar memperkenalkannya kepada bahasa dan makanan baharu, tetapi turut membuka ruang untuk memahami budaya serta kehidupan keluarga suaminya.
“Seronok dapat belajar budaya, adab dan ilmu mengenai bangsa dan agama lain walaupun saya tidak begitu mendalam menyertai acara keluarga. Banyak yang saya belajar daripada penceritaan suami,” katanya.
Bagi dua wanita Malaysia yang memilih pasangan berbeza bangsa dan budaya, cabaran yang dilalui mereka itu sebahagian perjalanan membina keluarga bahagia.
Daripada bahasa, makanan, gaya hidup serta cara membesarkan anak, masing-masing terus belajar menerima perbezaan tanpa mengetepi identiti dan pegangan sendiri.
