Cinta tiga segi disyaki motif remaja 16 tahun diperkosa, dibunuh

6 Aug 2026 • 5:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cinta tiga segi disyaki motif remaja 16 tahun diperkosa, dibunuh

NEW DELHI: Seorang remaja berusia 16 tahun diperkosa dan dibunuh dalam serangan mengerikan di rumahnya di daerah Hailakandi, Assam, sehingga mencetuskan protes di seluruh negeri itu.

Lima individu termasuk seorang bawah umur ditahan berhubung kes itu, dengan polis berkata siasatan awal menunjukkan cinta tiga segi mungkin menjadi motif pembunuhan.

Mangsa ditemukan mati di rumahnya di kawasan Aloicherra pada malam Sabtu selepas keluarganya pulang daripada jamuan berdekatan. Polis berkata bedah siasat mengesahkan mangsa diperkosa sebelum dibunuh.

Semalam, Polis Hailakandi menahan dua lagi suspek yang dikenal pasti sebagai Monoj Das atau Rajdeep Das, 23, dan Siraj Das, 18, menjadikan jumlah tangkapan dalam kes itu kepada lima orang. Kedua-duanya dibawa ke mahkamah daerah pada hari sama.

Ketua Penguasa Polis (SSP) Hailakandi, Amitab Sinha, berkata tiga remaja termasuk seorang berusia 17 tahun ditahan pada Isnin dan direman selama enam hari untuk membantu siasatan.

“Kami menahan tiga remaja termasuk seorang bawah umur pada Isnin. Pada pagi Rabu, kami menahan dua lagi suspek,” katanya kepada HT.

Menurut SSP berkenaan, penyiasat percaya mangsa mempunyai hubungan romantik dengan dua daripada suspek, yang mungkin menjadi punca pembunuhan itu.

“Mereka mendakwa gadis itu menjalin hubungan dengan kedua-duanya pada masa yang sama dan perkara itu mungkin menjadi motif utama pembunuhan,” kata Sinha.

Ibu mangsa berkata keadaan mayat anaknya hampir tidak dapat dikenali.

“Ini sangat mengerikan bagaimana seorang manusia boleh memperlakukan manusia lain, lebih-lebih lagi seorang kanak-kanak perempuan, dengan begitu kejam,” katanya sambil menuntut hukuman mati terhadap suspek.

Kakak mangsa mendakwa penyerang turut mencederakan dan mencacatkan mayat mangsa dengan kejam selepas serangan berkenaan.

“Wajahnya dihancurkan, kepalanya dipukul dengan objek berat dan sejenis objek seperti batang dimasukkan ke bahagian sulitnya,” dakwanya sambil menuntut hukuman paling berat terhadap mereka yang bertanggungjawab.- AGENSI

The post Cinta tiga segi disyaki motif remaja 16 tahun diperkosa, dibunuh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved