
KUALA NERUS – Tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 tahun yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti menjual air ketum di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Paka arah utara, Dungun berjaya diberkas berhampiran Stadium Sultan Mizan, di sini malam.
Ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 16 hingga 32 tahun berkenaan ditahan dalam pemeriksaan sebuah van jenis Toyota Hiace pada pukul 7.45 malam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, pemeriksaan di dalam van itu berjaya menemukan dua botol berisi cecair seberat 600 mililiter disyaki air rebusan daun ketum.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang berasal dari luar Terengganu tersebut dikatakan membawa air ketum itu untuk kegunaan sepanjang mereka menghadiri program RXZ Members 8.0.
“Ujian urin juga mendapati dua daripada tiga suspek itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Terdahulu, tular klip video memaparkan aktiviti penjualan air mencurigakan berwarna hijau lumut pada harga RM20 sebotol di R&R Paka yang dipercayai menyasarkan penunggang motosikal Yamaha RXZ. – KOSMO! ONLINE
The post 3 lelaki diberkas bantu siasatan jual ‘cakoroi’ di R&R Paka appeared first on Kosmo Digital.





