Cip Exynos Bakal Digunakan Pada Sistem Inforia Kenderaan Hyundai Generasi Akan Datang

TechnologyDigitalCars
7 Jun 2023 • 1:00 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Samsung menerusi satu kenyataan rasmi mengesahkan bahawa cip pemprosesan automotif baharu Exynos Auto V920 bakal digunakan pada sistem inforia kenderaan Hyundai. Ini bermakna, Samsung bakal menjadi pembekal cip untuk sistem inforia di dalam kenderaan terpilih yang dijangka dilancarkan pada tahun 2025 akan datang.

image is not available

Turut difahamkan, ia merupakan kerjasama yang pertama diantara pihak Samsung dalam industri semikonduktor automotif bersama Hyundai Motor. Dalam masa sama, Samsung turut meluah rasa teruja akan kerjasama tersebut sekaligus akan terus berusaha mencipta penyelesaian lebih canggih dan berinovasi secara konsisten untuk pengalaman pengguna yang lebih selamat.

image is not available

Cip Exynos Auto V920 menggunakan 10 teras baharu ARM yang dikhususkan untuk pemanduan autonomi dengan prestasi 1.7 kali lebih berkuasa. Selain itu, ia juga menyokong memori LPDDR5 yang berupaya menawarkan sehingga enam pilihan paparan beresolusi tinggi dan sehingga 12 sensor kamera yang boleh digunakan untuk merakam pelbagai maklumat penting.

image is not available

Penambahbaikan pada GPU dan kecerdasan buatan (AI) pula dikatakan mampu bantu meningkatkan persembahan visual pada paparan sistem inforia. Selain turut bantu mengoptimumkan interaksi pemandu dengan maklumat di dalam kereta. Turut disertakan cip NPU serba baharu yang membolehkan ciri pemantauan pemandu seperti mengenali suara dan mengesan keadaan sekeliling digunakan dengan lebih baik.

Exynos Auto V920 juga memenuhi keperluan ASIL-B (Tahap Integriti Keselamatan Automotif), yang menurut Samsung mampu mengesan dan mengurus kesalahan dalam masa nyata bagi memastikan sistem yang lebih selamat.