Cip Pemprosesan Intel Panther Lake Diperlihatkan Sewaktu Lenovo Tech World

TechnologyDigital
17 Oct 2024 • 4:59 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sewaktu acara Lenovo Tech World tempoh hari, dimana Lenovo telah memperlihatkan beberapa teknologi dan produk baru seperti komputer riba Lenovo ThinkPad X1 2-in-1 Aurora Edition, Intel, melalui CEO mereka, Pat Gelsinger juga telah membuat penampilan di acara tersebut untuk bercakap mengenai teknologi-teknologi terbaru yang diperkenalkan syarikat tersebut.

Diantaranya ialah cip pemprosesan komputer riba nipis dan ringan akan datang mereka, yang hadir dengan kod nama Panther Lake. Intel nampaknya telah mula mengilang cip pemprosesan tersebut, dan sebuah model terawal cip pemprosesan tersebut telah diperlihatkan di acara Lenovo Tech World.

image is not available

Apa yang kita ketahui setakat ini mengenai cip Panther Lake ialah Intel akan kembali mengeluarkannya, menggunakan proses 18A terbaru mereka. Daripada cip pemprosesan yang diperlihatkan sewaktu acara tersebut, ia dapat dilihat bahawa Panther Lake mungkin tidak akan mengekalkan rekaan dengan memori LPDDRX terbina didalam cip SoC, dan akan mungkin kembali menggunakan memori yang dipateri pada papan induk seperti cip-cip pemprosesan komputer riba nipis dan ringan mereka sebelum ini.

Dalam pada itu, Panther Lake juga dijangka akan menggunakan cip pemprosesan grafik Intel Xe3 dengan kod nama Celestial kelak, yang dijangka memberi tahap prestasi dan kecekapan yang lebih baik berbanding apa yang ditawarkan dengan Xe2 yang digunakan bersama cip Lunar Lake.

Sama seperti pelancaran tahun ini, ia dijangka bahawa cip butiran lanjut mengenai Intel Panther Lake akan diketahui dengan lebih umum sekitar pertengahan tahun 2025 kelak.