Bersama dengan pelancaran siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V Lunar Lake pada bulan lepas, semakin banyak jenama komputer riba dilihat bakal menawarkannya bersama-sama komputer riba nipis dan ringan terbaru mereka.
Lenovo baru sahaja mengadakan acara Lenovo Tech World mereka, dan di acara tersebut, telah memperlihatkan sebuah komputer riba ThinkPad X1 baru, iaitu Lenovo ThinkPad X1 2-in-1 Gen 10 Aura Edition.

Komputer riba ini dilengkapi dengan pilihan paparan sesentuh OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi 2.8K (2880 x 1800) ataupun paparan sesentuh IPS dengan resolusi WUXGA (1920×1200) yang tampil dengan nilai kecerahan 500nit. Dalam pada itu, dengan nama ThinkPad X1 2-in-1, paparan ini juga boleh ditolak balik 360 darjah untuk menjadikan komputer riba ini sebagai sebuah tablet 14 inci.

Dari segi rekaan, Lenovo ThinkPad X1 2-in-1 memperlihatkan rangka luaran yang sama seperti komputer riba Lenovo ThinkPad X1 2-in-1 Gen 9 sebelum ini, yang menjadikannya sebuah komputer riba yang cukup nipis dan ringan juga.
Dari segi komponen, pengumuman awal memperlihatkan bahawa ia akan dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V Lunar Lake yang terbaru. Butiran mengenai CPU apakah yang akan digunakan tidak diketahui lagi, tetapi ia dijangka bahawa sekurang-kurangnya pilihan cip Intel Core Ultra 9 dan Core Ultra 7 akan digunakan dalam siri ini.

Pada komputer riba edisi Aura ini juga, Lenovo akan memperkenalkan sejumlah ciri dan teknologi AI baru yang akan meningkatkan produktiviti pengguna di dalam dan juga di luar pejabat.

Dalam pada itu, Lenovo turut mengatakan bahawa jangka hayat bateri komputer riba ini akan menjadi jauh lebih lama berbanding dengan sebarang penawaran sebelum ini, dan kenyataan ini dilihat selari dengan apa yang kami dapati pada ulasan cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 258 kami melalui komputer riba ASUS Zenbook S 14 baru-baru ini.
Lenovo mengatakan bahawa komputer riba Lenovo ThinkPad X1 2-in-1 Gen 10 Aura Edition ini akan tiba di pasaran-pasaran terpilih pada bulan Februari 2025 tahun depan, dengan harga permulaan €2,389 (~RM4680).
