Taiwan Semiconductor Manufacturing Company ataupun TSMC telah mula membuka kilang-kilang baru di beberapa negara selain daripada Taiwan seperti Amerika Syarikat, Jerman, Jepun dan sebagainya sebagai cara untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran cip semikonduktor pada pelbagai tahap.
Kos pembukaan kilang-kilang baru ini menelan belanja berbilion-bilion dolar, dan walaupun ia dilihat akan membantu dalam meningkatkan pengeluaran pelbagai jenis cip semikonduktor dengan teknologi terbaru, CEO TSMC, C.C. Wei mengatakan bahawa pengeluaran cip-cip pemprosesan ini akan hadir dengan kaveatnya tersendiri.

Beliau berkata bahawa kos pembangunan kilang-kilang baru ini menelan belanja yang sangat tinggi sekali, dan disekalikan dengan kos bekalan kuasa elektrik dan bekalan air yang diperlukan untuk mengilangkan cip-cip semikonduktor ini, kebarangkaliannya ialah TSMC akan terpaksa menjual cip-cip tersebut pada harga yang lebih tinggi berbanding sekiranya mereka membeli cip yang dibangunkan di Taiwan.
Pencarian tenaga kerja yang pakar dalam bidang penyelidikan dan pembangunan cip semikonduktor menggunakan teknologi-teknologi baru ini juga adalah salah satu sebab mengapa cip-cip pemprosesan yang dikilang di luar Taiwan akan menghadapi peningkatan dari segi kos.
Setakat ini pihak TSMC masih belum mengesahkan apakah tambahan premium yang akan perlu dibayar oleh syarikat-syarikat yang mahukan cip-cip pemprosesan tertentu pada masa dan lokasi yang diingini, tetapi mengikut pengiraan pada kilang di Arizona, cip yang dikilang menggunakan proses N4 dan N5 (4, 5nm) ia akan hadir dengan tanda harga 20-30 peratus lebih tinggi daripada harga asal.
- Sumber
- Tom’s Hardware
