Pembelian dan tempahan secara atas talian sudah menjadi kelaziman di dunia moden. Tetapi tak semua tiket atau pas yang dibeli mudah diakses secara setempat walaupun jika ia disimpan dalam dompet digital. Samsung Wallet minggu lalu memperkenalkan ciri baharu Trips yang menyenaraikan kesemua tiket dan pas digital secara setempat untuk perjalanan tertentu.

Dalam Trips, itinerari perjalanan ketika melancong juga boleh disimpan setempat. Ini amat memudahkan akses apabila di lapangan terbang dan ditemubual pegawai imigresen mengenai tempat yang ingin dilawati. Tak perlu lagi mencarinya dalam tangkapan skrin atau emel.
Trips boleh menyimpan tiket penerbangan, bas, kereta api, tempahan hotel, kereta sewa, tiket sukan, taman tema dan konsert secara setempat. Pada waktu ini Trips di Samsung Wallet diaktifkan untuk pengguna di Korea Selatan, Amerika Syarikat dan United Kingdom terlebih dahulu.



