Ciri YouTube Premium ini boleh diakses pengguna secara percuma, betul ke?

Digital
28 Feb 2024 • 10:43 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Jika sebelum ini fungsi picture-in-picture atau PiP di YouTube boleh digunakan secara meluas untuk peranti Android dan iOS, tetapi ia telah dijadikan ciri khas yang ditawarkan hanya untuk pengguna YouTube Premium.

Namun pada 2022, fungsi tersebut dapat diakses secara percuma oleh pengguna YouTube di Amerika Syarikat. Manakala pengguna di pasaran lain, masih perlu melanggan YouTube Premium.

Walau bagaimanapun, ciri PiP itu kini dikatakan sudah kembali dapat digunakan tanpa langganan YouTube Premium. Menurut sumber, pilihan untuk mengakses PiP kembali dapat dilihat di peranti yang berada di Jerman walaupun tanpa langganan Premium.

Terdapat juga beberapa hantaran pengguna Reddit di Eropah turut yang memperkatakan tentang fungsi PiP itu yang boleh diakses pada akaun bukan Premium. Adakah ini bermakna fungsi PIP akan kembali dapat diakses oleh semua pengguna YouTube?

Semua itu masih belum pasti dan tiada sebarang pengumuman rasmi pun dari YouTube sendiri. Malah berdasarkan hantaran yang dibuat YouTube menerusi hantaran di X, fungsi tersebut setakat ini masih hanya boleh diakses secara percuma oleh pengguna YouTube di Amerika Syarikat sahaja.

Bagi anda yang mungkin tidak tahu, fungsi picture-in-picture atau PiP itu membolehkan pengguna menonton video YouTube dalam skrin kecil sementara menggunakan aplikasi lain. Ciri itu boleh diakses dengan meleretkan video YouTube ke atas (atau tekan Home) bagi menutup aplikasi YouTube dan menontonnya dalam versi mini.

image is not available
Menonton YouTube gunakan fungsi PiP

Hasil daripada percubaan saya sendiri tanpa akaun YouTube Premium, saya tidak boleh mengakses fungsi ini. Mungkin ia merupakan fasa percubaan untuk pengguna di Eropah atau memang hanya ditawarkan secara percuma untuk pengguna YouTube di Amerika Syarikat sahaja. Sama-samalah kita tunggu dan lihat nanti.

Langgan YouTube Premium 

Sekiranya anda berminat untuk melanggan YouTube Premium, ia boleh dilanggan dari RM17.90/bulan untuk individu, RM33.90/bulan bagi keluarga atau 6 akaun. Bagi pelajar pula, boleh melanggan pada harga RM10.90/bulan.

image is not available
Harga langganan YouTube Premium di Malaysia

Selain mendapat tontonan tanpa iklan, pengguna akaun Premium turut akan menikmati kelebihan YouTube Music dengan ciri seperti pemain di latar, pemain sambil skrin terpadam serta pemain di luar talian.

image is not available
Harga langganan YouTube Music Premium di Malaysia

Namun jika anda hanya berminat untuk melanggan YouTube Music Premium, ia boleh dilanggan dari RM17.90/bulan untuk individu, RM22.90/bulan bagi keluarga atau 6 akaun dan untuk RM6.90/bulan bagi pelajar.

[Sumber: AndroidPolice]

Bacaan berkaitan: