Citaglobal peroleh subkontrak RM37.8 juta kerja pembinaan jajaran LRT Mutiara di Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Citaglobal peroleh subkontrak RM37.8 juta kerja pembinaan jajaran LRT Mutiara di Pulau Pinang Image from: Citaglobal peroleh subkontrak RM37.8 juta kerja pembinaan jajaran LRT Mutiara di Pulau Pinang amree03/06/2026 - 18:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 JunCitaglobal Berhad memperoleh subkontrak bernilai RM37.79 juta bagi kerja-kerja pembinaan jajaran Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata anak syarikat penuhnya, Citaglobal Land Sdn Bhd (CLSB), menerima surat penganugerahan (LOA) tersebut daripada SRS Consortium Sdn Bhd.


Menurutnya, tender tersebut untuk pelaksanaan Sub-Pakej LS03 yang melibatkan pembinaan bentangan panjang, bentangan khas dan kerja-kerja berkaitan dari laluan KOMTAR ke East Jelutong.


"Kontrak ini merupakan sebahagian daripada Pakej CMC1 bagi Projek LRT Mutiara merangkumi pembinaan laluan jejambat, stesen bertingkat, depot serta kemudahan yang berkaitan," tambah Citaglobal.


Kerja-kerja itu diperoleh menerusi proses tender kompetitif yang dikendalikan oleh SRS Consortium, dengan CLSB mengemukakan bidaan pada April 2026 sebelum menyertai proses e-lelongan pada Mei 2026.


Kumpulan tersebut berkata, CLSB dikehendaki menandatangani Perjanjian Artikel dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh LOA serta mengemukakan bon pelaksanaan bernilai RM1.89 juta dalam 14 hari.


Subkontrak ini jelasnya, dijangka dapat menyumbang secara positif kepada perolehan, pendapatan sesaham dan aset bersih kumpulan berkenaan sepanjang tempoh pelaksanaan tender projek tersebut.


"Susulan penerimaan kontrak baharu itu, nilai buku tempahan terkumpul Citaglobal secara proforma sudah pun bertambah dan mencecah kira-kira RM1.45 bilion setakat tarikh pengumuman," jelasnya.


LRT Mutiara merupakan projek pengangkutan awam strategik bakal menjadi peneraju sistem mobiliti Pulau Pinang dengan menghubungkan kawasan pembangunan baharu di beberapa pusat ekonomi utama.


Syarikat tersebut tidak menjangka sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi dan pelaksanaan projek yang lazim dalam industri pembinaan serta akan mengambil pelbagai langkah sewajarnya.


Citaglobal turut mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam subkontrak berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard