Citaglobal teroka projek kredit karbon melalui pemuliharaan bakau di Pahang dan Indonesia

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Citaglobal teroka projek kredit karbon melalui pemuliharaan bakau di Pahang dan Indonesia Image from: Citaglobal teroka projek kredit karbon melalui pemuliharaan bakau di Pahang dan Indonesia johardy11/11/2026 - 09:00 Dari kiri: Norita binti Ja’afar, Pengarah Kitaran Tabah Sdn Bhd; Akhramsyah Muammar Ubaidah bin Sanusi, Pengarah Kitaran Tabah Sdn Bhd; YBhg. Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza bin Zakaria, Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Berhad; Thye Chee How, Ketua Pegawai Eksekutif Citaglobal Environment Management Sdn Bhd; dan Ellise Ho Oii Lee, Ketua Kewangan dan Hal Ehwal Korporat Citaglobal Environment Management Sdn Bhd. Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov - Citaglobal Berhad memperluas perniagaan alam sekitarnya dengan meneroka projek kredit karbon menerusi kerjasama menilai pemuliharaan dan pemulihan hutan bakau di Pahang serta Lampung, Indonesia.

 

Unit pengurusan sisa dan alam sekitarnya, Citaglobal Environment Management Sdn Bhd (CGEM), akan bekerjasama dengan Kitaran Tabah Sdn Bhd untuk menilai projek karbon biru berkenaan, menurut kumpulan itu pada Selasa.

 

Inisiatif tersebut bertujuan menghasilkan manfaat iklim yang disahkan dan berpotensi dikomersialkan menerusi pemuliharaan hutan bakau yang terancam serta pemulihan kawasan yang terosot. Kedua-dua lokasi itu terletak di wilayah yang turut menjadi tumpuan pembangunan infrastruktur alam sekitar kumpulan.

 

Kitaran Tabah akan menerajui proses pembangunan kredit karbon, daripada kajian kebolehlaksanaan hingga pengesahan antarabangsa.

 

“Karbon biru memerlukan disiplin yang sudah diamalkan dalam perniagaan alam sekitar kami, iaitu memilih tapak yang sesuai, mendapatkan kepercayaan masyarakat dan pihak berkuasa serta memastikan kejelasan hak sebelum memberikan komitmen modal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CGEM, Thye Chee How.

 

Perkukuh perniagaan alam sekitar

“Pahang dan Lampung mempunyai kawasan hutan bakau yang usaha pemuliharaan dan pemulihannya boleh membawa perubahan bermakna kepada pesisir pantai serta masyarakat yang bergantung padanya,” kata Pengarah Kitaran Tabah, Akhramsyah Sanusi.

 

Kerjasama itu turut dibina berasaskan keupayaan penjanaan tenaga daripada sisa Citaglobal menerusi LAWI Engineering GmbH yang dikenali sebagai LAWI Germany.

 

Syarikat kejuruteraan milik 55% CGEM itu menyediakan teknologi pembakaran proprietari dan kepakaran kejuruteraan di seluruh Asia Tenggara.

 

LAWI Germany baru-baru ini memperoleh bahagian kontrak bernilai RM29 juta daripada keseluruhan kontrak RM52.1 juta bagi projek penjanaan tenaga daripada sisa Siam Power Naklang di Nakhon Ratchasima, Thailand.

 

Saham Citaglobal ditutup meningkat empat sen atau 3.48% kepada RM1.19 pada Selasa, menjadikan permodalan pasaran kumpulan sebanyak RM670.4 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved