Projek solar terapung Citaglobal, Masdar dan TIZA Global di Pahang peroleh pembiayaan RM580 juta

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 6:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek solar terapung Citaglobal, Masdar dan TIZA Global di Pahang peroleh pembiayaan RM580 juta Image from: Projek solar terapung Citaglobal, Masdar dan TIZA Global di Pahang peroleh pembiayaan RM580 juta sarah29/10/2026 - 18:16 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt - Projek solar terapung berkapasiti 200 megawatt (MW) di Empangan Chereh, Pahang yang dibangunkan Citaglobal Berhad, Masdar dan TIZA Global Sdn Bhd memperoleh pembiayaan kira-kira RM580 juta daripada tiga pemberi pinjaman antarabangsa bagi menyokong pembinaannya.

 

Pembiayaan projek itu dimuktamadkan pada 27 Oktober 2026, dua hari sebelum ketiga-tiga syarikat mengadakan majlis pecah tanah bagi menandakan permulaan pembinaan projek yang dijangka beroperasi pada 2028.

 

Menurut kenyataan bersama hari ini, projek yang dibangunkan menerusi Chereh Solar Sdn Bhd itu merupakan antara pembangunan solar terapung terbesar di Asia Tenggara, dengan kapasiti penjanaan elektrik bersih bersamaan keperluan kira-kira 100,000 rumah.

 

Projek berkenaan juga dijangka mewujudkan kira-kira 1,500 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembangunan dan pembinaan, dengan majlis pecah tanah disaksikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

 

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal serta TIZA Global, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, permulaan pembinaan projek itu merupakan langkah penting dalam usaha memperluas portfolio penjanaan tenaga boleh diperbaharui Citaglobal.

 

“Dengan penjualan elektrik jangka panjang yang telah dikontrakkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), keutamaan kami kini adalah menyiapkan projek ini dan membawanya ke peringkat operasi,” katanya.

 

Chereh Solar sebelum ini memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan TNB pada Disember 2025 bagi penjualan elektrik yang dijana selama 21 tahun bermula dari tarikh operasi komersial projek.

 

Projek tersebut diperoleh menerusi proses tender kompetitif di bawah program Solar Berskala Besar (LSS) Kitaran 5+, dengan bidaan konsortium menawarkan tarif paling rendah dalam kategori solar terapung.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi berkata, Chereh merupakan projek pertama syarikat tenaga boleh diperbaharui dari Abu Dhabi itu di Malaysia, sekali gus menandakan komitmen jangka panjangnya terhadap pembangunan tenaga bersih di negara ini dan Asia Tenggara.

 

Projek Chereh juga merupakan pembangunan pertama di bawah pelan hala tuju tenaga boleh diperbaharui 10 gigawatt (GW) yang dipersetujui Masdar bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 2023, selain menyokong sasaran Malaysia meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam kapasiti penjanaan elektrik terpasang kepada 35% menjelang 2030.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved