
KASIH seorang anak terhadap ibu sememangnya tiada penghujung, biarpun jasad sudah lama disemadikan.
Itulah yang dirasai oleh cef selebriti popular, Datuk Cef Wan, yang menyentuh hati ramai apabila menceritakan bagaimana sekecil-kecil barang peninggalan arwah ibunya, Noraini Abdullah, menjadi pengubat rindu yang sangat mendalam menerusi Instagram miliknya.
Malah, dalam satu suntingan di Threads temu bual bersama Erra Fazira dan Ezwan Zain menerusi podcast Kasi Onz, Cef Wan atau nama sebenarnya Redzuan Ismail, mendedahkan, sehingga kini beliau masih lagi menyimpan sepasang kasut milik arwah ibu yang dibelikan hanya seminggu sebelum wanita kesayangannya itu menghembuskan nafas terakhir.

"Sebenarnya masa tengah kemas-kemas, saya terjumpa kasut mak yang saya beli kali terakhir sebelum mak meninggal dunia.
"Saya tak buang, saya simpan lagi sampai sekarang. Kasut itu comel sangat sebab kaki Mak memang kecil. Kadang-kadang, saya akan ambil dan cium kasut itu sebab bagi saya, ia macam saya tengah cium tapak kaki mak sendiri.
"Saya susun elok-elok dan ambil gambar sebab teringat betapa kecilnya kaki Mak, macam kaki budak sekolah sahaja," katanya dengan nada yang cukup hiba.
Bagi Cef Wan, setiap barangan peninggalan itu mempunyai nilai sentimental yang tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit.
Selain kasut, beliau juga menyimpan rapi sikat, gambar-gambar, tudung, malah kain batik yang pernah digunakan oleh arwah.
Rutin melawat kubur
Jelas bapa kepada dua cahaya mata itu, setiap kali kerinduan menerpa, barangan itulah yang menjadi peneman selain rutin mingguannya melawat pusara arwah yang dijaga dengan begitu rapi dan indah.

"Saya simpan sikat dia, kain batik dia. Kalau rindu, saya akan pergi melawat kubur mak setiap satu atau dua minggu sekali.
"Kubur mak cantik, hijau dan saya jaga bersih-bersih sampai hari ini.
"Memang ramai orang di luar sana yang kehilangan ibu bapa, bukan saya seorang sahaja, tetapi perasaan itu tetap sama," kongsinya lagi yang tidak dapat menahan sebak ketika mengimbau kenangan mengurut dan mencium kaki ibunya sewaktu arwah masih hidup.
Anak sulung daripada tujuh beradik ini turut sempat menitipkan pesanan yang cukup bermakna buat semua agar menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada di depan mata.
Tegasnya, penyesalan di kemudian hari tidak akan membawa apa-apa makna jika kita gagal menjalankan tanggungjawab dan memberikan kasih sayang sepenuhnya ketika mereka masih bernafas.

"Kita hanya ada satu sahaja ibu dan bapa. Jadi, buatlah yang terbaik untuk mereka. Sebab bila mereka sudah pergi esok, itulah pengakhirannya. Kita merindu pun tak guna, kalau keluar air mata darah sekalipun sudah tidak berguna lagi.
"Sangat penting untuk kita muliakan dan jaga mak kita. Kalau kita buat tak elok atau abai mereka, kita akan hidup dengan rasa bersalah itu seumur hidup.
"Biarpun kita sudah buat yang terbaik, perasaan rindu itu tetap akan ada, apatah lagi jika sebaliknya," pesan Cef Wan dengan penuh ikhlas.
Untuk rekod, bonda tercinta Cef Wan menghembuskan nafas terakhir pada usia 93 tahun di Hospital Gleneagles pada 12 Januari 2023 yang lalu.
