Classita lupus 49% pegangan dalam dua anak syarikat kepada ahli lembaga pengarah Choo Peng Hung

08/09/2025 - 17:38
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 8 Sept – Classita Berhad telah menandatangani satu Perjanjian Induk (HOA) dengan Choo Peng Hung bagi melupuskan 49% pegangan ekuiti dalam dua anak syarikat milik penuhnya, iaitu Classita (M) Sdn Bhd dan Marywah Industries (M) Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Classita berkata, urus niaga berkenaan adalah sebahagian daripada langkah strategik bagi membolehkan penyertaan ekuiti oleh pihak pengurusan, di samping mengagihkan semula sumber kepada perniagaan hartanah dan pembinaannya yang sedang berkembang pesat.
“Di bawah HOA tersebut, Classita dan Peng Hung yang juga merupakan pengarah serta sebahagian daripada pasukan pengurusan kedua-dua syarikat terbabit akan merundingkan terma muktamad urus niaga.
“Ini termasuk pertimbangan harga dan syarat penting lain dalam tempoh enam bulan atau tempoh lanjutan yang dipersetujui bersama.
“Rasional bagi urus niaga yang dicadangkan ini adalah untuk memberi peluang penyertaan ekuiti kepada pihak pengurusan, sekali gus meningkatkan komitmen mereka serta menyelaraskan kepentingan mereka dengan kepentingan syarikat,” kata Lembaga Pengarah Classita.
Selain itu, Classita berkata, urus niaga tersebut akan membolehkan Classita melaksanakan pelupusan sebahagian pegangan dan pengagihan semula sumber kepada perniagaan hartanah dan pembinaan.
“Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan lain yang mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam perjanjian tersebut,” kata Classita.
Lembaga Pengarah syarikat itu juga optimis pelupusan pegangan ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat, sejajar dengan fokus strategik serta pengembangan berterusan dalam sektor hartanah, pembinaan dan infrastruktur.
Classita berkata pihaknya akan membuat pengumuman lanjut berhubung perjanjian muktamad kelak, dan jika perlu akan mendapatkan kelulusan pemegang saham mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia. - DagangNews.com
standard


