Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu: Gianluca, Anastasiia dan Daved juara elit

20 Oct 2025 • 3:56 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kundasang: Ghiano Gianluca dari Itali dan Anastasiia Rubstova Yurievna dari Rusia masing-masing meraih kemenangan dalam kategori elit lelaki dan wanita manakala Daved Simpat dari Sabah mengekalkan gelarannya dalam kategori veteran velaki pada Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu ke-32 pada Ahad.

Ghiano muncul juara selepas menamatkan larian dengan catatan masa 03:05.41, manakala Anastasiia mengungguli kategori wanita dengan catatan 03:46.13. Daved turut mendominasi saingan, menamatkan larian dalam tempoh 03:50.50.

“Ia adalah perlumbaan yang luar biasa dan cuacanya menakjubkan,” kata Ghiano sambil menambah bahawa bahagian paling mencabar baginya ialah beberapa kilometer terakhir di mana dia terpaksa mendesak diri.

“Saya terfikir tentang semua idola saya yang pernah berlumba di sini, seperti Kilian dan Bruno Brunod, jadi saya sangat gembira dan bangga untuk menang di tempat yang sama. Ini kali pertama saya di sini, dan kemenangan ini istimewa untuk saya,” katanya.

Sementara itu, Anastasiia berkata, “Saya sangat gembira dengan perlumbaan hari ini. Apabila saya sampai ke puncak gunung, batu-batu dan pemandangannya sangat cantik, ia luar biasa.

“Ini kali pertama saya berlumba di Sabah, dan pengalaman ini menakjubkan. Laluan di sini sukar tetapi boleh dikawal kerana saya mempelajari trek GPS dan tahu apa yang diharapkan. Saya sangat menikmatinya. Saya sukakan altitud tinggi dan cabaran mendaki bukit,” katanya.

Daved berkata dia benar-benar gembira dengan kemenangan ini.

“Saya menggunakan pengalaman saya dari tahun-tahun sebelumnya, kali ini, ia lebih mencabar dengan ramai pelari antarabangsa yang bagus.

“Banyak yang saya pelajari daripada cara mereka menguruskan stamina dan rentak larian mereka. Pada usia 43 tahun, pesanan saya kepada pelari lain adalah jangan sekali-kali berputus asa, walaupun saingan sukar. Teruskan bekerja keras, kekal yakin, dan jangan hilang semangat  untuk sukan ini,” katanya.

Setahun selepas memperkenalkan laluan baharu dan lebih mencabar, Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu ke-32 menampilkan aksi cukup menarik.

Diiktiraf sebagai Geopark Global Unesco, perlumbaan itu menampilkan laluan sejauh 24.5 km, termasuk pendakian sejauh 12.25 km ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095.2 m, diikuti dengan penurunan teknikal sejauh 12.25 km.

Para peserta menghadapi tanjakan yang curam, rupa bumi yang lasak dan keadaan yang mencabar, menjadikan acara itu ujian sebenar bagi ketahanan dan daya tahan.

Edisi tahun ini mengalu-alukan peserta dari 27 negara, termasuk Malaysia, Jepun, Filipina, Singapura, Indonesia, Australia, Itali, Rusia, Amerika Syarikat dan banyak lagi.

Kumpulan antarabangsa termasuk pesaing Skyrunner® World Series, menambah kelebihan daya saing kepada kategori elit.

Dimulakan pada 6:30 pagi oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Hisham Ujang, Climbathon mempamerkan keindahan Taman Kinabalu sambil meraikan kecemerlangan olahraga dan semangat kesukanan.

Perlumbaan menampilkan tiga kategori: elit ;elaki, elit wanita, dan veteran lelaki. Pemenang terbaik turut dianugerahkan hadiah wang tunai dan hadiah lain.

Keputusan tiga teratas untuk elit lelaki: Pertama – (Ghiano Gianluca, Itali, 03:05.41), ke-2 – (Boffeli William, Itali, 03:06.13), ke-3 – (Luca Del Pero, Itali, 03:15.07).

Kedudukan tiga teratas untuk elit wanita: Pertama – (Anastasiia Rubstova Yurievna, Rusia, 03:46.13), ke-2 – (Ainara Alcuaz Rodriguez, Sepanyol, 04:12.39), ke-3 – (Lina Klara Emilia El Kott Helander, Sweden, 484:27).

Kedudukan tiga teratas veteran lelaki: Pertama – (Daved Simpat , Malaysia, 03:50.50), ke-2 – (Raichin Sungkit, Malaysia, 03:58.15), ke-3 – (Safrey Sumping, Malaysia, 03:59.42).

Perlumbaan tahun ini adalah sebahagian daripada Siri Skyrunning Dunia, dengan pusingan akhir akan berlangsung di Sepanyol pada 8 November. Ia juga merupakan acara yang diiktiraf Itra, yang membolehkan pelari memperoleh mata rasmi untuk melengkapkan kursus.

Julinus Jeffrey Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah berkata, “Kami sangat teruja melihat laluan baharu diperkenalkan tahun lepas, mencabar atlet dengan cara yang baharu.

“Pencapaian mereka yang memecahkan rekod mencerminkan potensi bertaraf dunia Gunung Kinabalu sebagai destinasi sukan global.

“Melihat ke hadapan, kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa edisi seterusnya Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu akan diadakan pada 18 Oktober 2026, bersempena dengan kempen ‘Explore Sabah’ dan ‘Visit Malaysia 2026’ oleh Lembaga Pelancongan Sabah dan Tourism Malaysia,” tambahnya.

Acara ini dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah melalui anak syarikatnya Sri Pelancongan Sabah, dengan kerjasama Taman-Taman Sabah.

Ia disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, dan sebagai sebahagian daripada kempen Melawat Malaysia 2026.

Acara ini dijayakan melalui perkongsian kukuh dengan BigBigPlace, K2, Sutera Sanctuary Lodges, Truly Borneo Tours & Events, Altra, Zeak, Evenesis (Teknologi Pendaftaran Acara), Arus Foods dan Gretel (Teknologi Strategi Perlumbaan).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved