Cloudpoint beli 100% ekuiti CX One bernilai RM16.8 juta perkukuh rantaian rumusan digital berasaskan AI

TechnologyBusiness & Finance
6 May 2026 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cloudpoint beli 100% ekuiti CX One bernilai RM16.8 juta perkukuh rantaian rumusan digital berasaskan AI Image from: Cloudpoint beli 100% ekuiti CX One bernilai RM16.8 juta perkukuh rantaian rumusan digital berasaskan AI amree06/05/2026 - 18:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 MeiCloudpoint Technology Berhad berhasrat mengambil alih penuh CX One Sdn Bhd bernilai RM16.8 juta, sebagai langkah strategik penting memperkukuh rantaian rumusan digitalnya.


Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, pembelian syarikat itu selari dalam usahanya mempercepatkan penguasaan ekosistem kecerdasan buatan (AI) dan pengalaman pelanggan. 


Tambah kumpulan berkenaan, cadangan pemerolehan tersebut melibatkan pembelian kesemua 100% pegangan ekuiti dalam CX One daripada empat vendor, yang akan dibiayai sepenuhnya secara tunai.


"Separuh daripada harga pembelian dibayar secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun, tertakluk kepada jaminan keuntungan kumulatif RM7.45 juta bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028," ujarnya.


CX One merupakan penyedia rumusan komunikasi dan pengalaman pelanggan digital secara bersepadu, termasuk teknologi pusat hubungan pelbagai saluran serta aplikasi sembang 'chatbot' berasaskan AI. 


Pengambilalihan syarikat berkenaan jelas Cloudpoint, dijangka melengkapkan kepakaran sedia ada kumpulan tersebut dalam rangkaian pusat data (DC), keselamatan siber dan perkhidmatan awan.


Usaha strategik itu membolehkan kumpulan menawarkan rumusan digital, selain membuka peluang luas melalui aktiviti jualan silang kepada pangkalan pelanggan sedia ada merentas pelbagai industri.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wira Choong Wai Hoong berkata, segmen pusat hubungan menjadi titik permulaan penting bagi pelaksanaan AI dalam kalangan institusi kewangan.


"Langkah terbaharu ini dijangka menarik minat banyak syarikat besar, sekali gus memberikan potensi pertumbuhan yang signifikan kepada kumpulan ini," jelas beliau menerusi kenyataan berasingan.


Selain itu, Cloudpoint turut mencadangkan kepelbagaian serta lanjutan tempoh penggunaan dana hasil tawaran awam permulaan (IPO), bagi menyokong pelan pengembangan strategiknya dalam jangka panjang.


Ujarnya, pengambilalihan ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan, disokong gabungan pendapatan berasaskan projek serta aliran pendapatan berulang. - DagangNews.com

Terkini standard