Rivertree STF Synergies beli 100% ekuiti dua syarikat hartanah berjumlah RM46.3 juta

LocalProperty
5 May 2026 • 2:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rivertree STF Synergies beli 100% ekuiti dua syarikat hartanah berjumlah RM46.3 juta Image from: Rivertree STF Synergies beli 100% ekuiti dua syarikat hartanah berjumlah RM46.3 juta amree05/05/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 MeiRivertree STF Synergies Berhad merancang pengambilalihan 100% ekuiti dalam dua syarikat hartanah tempatan pada nilai pertimbangan keseluruhan berjumlah RM46.3 juta.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berhasrat membeli Rivertree Landmark Sdn Bhd (RLSB) dan Rivertree Signatures Sdn Bhd, masing-masing pada harga RM32.7 juta dan RM13.6 juta.


Urus niaga itu jelasnya, akan dibiayai sepenuhnya secara tunai, dan pada masa sama, ia merancang pelupusan 100% kepentingan dalam Irama Setia Sdn Bhd pada harga RM13 juta kepada pihak berkaitan.


"Cadangan ini diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan di bawah keperluan penyenaraian awam, berikutan penglibatan beberapa pengarah dan pemegang saham utama," jelas Rivertree STF Synergies.


Sehubungan itu, MainStreet Advisers Sdn Bhd dilantik secara rasmi oleh kumpulan berkenaan sebagai penasihat bebas bagi menilai kewajaran transaksi kepada pemegang saham yang bukan berkepentingan.


Antara aset utama yang bakal diperoleh melalui RLSB ialah sebidang tanah komersial kosong di Kuala Lumpur dengan keluasan kira-kira 1,439 meter persegi, yang mempunyai potensi pembangunan semula.

 

Rivertree STF_DagangNews


Semakan Rivertree STF Synergies menunjukkan RLSB tidak pernah mencatat sebarang hasil bagi tiga tahun kewangan lalu dan merekodkan kerugian sebelum cukai RM2.4 juta hingga RM2.5 juta setahun.


"Selain itu, syarikat tersebut berada dalam kedudukan liabiliti bersih yang meningkat kepada sebanyak RM11.45 juta setakat tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025," jelas kumpulan berkenaan lagi.


Prestasi lemah dicatatkan itu ujarnya, didorong oleh pelbagai faktor dalaman termasuk kos pentadbiran, perbelanjaan kewangan serta perbelanjaan pembangunan yang masih dalam peringkat awal.


Langkah pengambilalihan dan pelupusan ini ujar Rivertree STF Synergies dilihat sebagai sebahagian daripada strategi penstrukturan semula aset dan fokus perniagaan kumpulan itu untuk jangka panjang.


Bagaimanapun jelasnya, pelabur syarikat berkenaan dijangka memberi perhatian utama kepada potensi pemulihan aset yang diambil alih, memandangkan syarikat itu belum menjana pendapatan setakat ini.


"Cadangan transaksi pengambilalihan ini namun masih lagi tertakluk kepada kelulusan pihak berkaitan termasuk pemegang saham serta pemenuhan syarat dalam perjanjian jual beli saham yang dimeterai.


Secara keseluruhan, Rivertree STF Synergies mengambil langkah agresif menyusun semula portfolio hartanahn, dan kejayaan strategi ini bergantung kepada keupayaan menjana nilai aset. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article