Cloudpoint berjaya memindahkan penyenaraian daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

13/10/2025 - 12:54
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 13 Okt – Cloudpoint Technology Berhad mencatat satu lagi detik penting dalam sejarah korporatnya apabila berjaya memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Langkah strategik itu mencerminkan kedudukan kewangan kukuh syarikat, amalan tadbir urus yang mantap serta kesediaan untuk mempercepatkan fasa pertumbuhan sebagai syarikat tersenarai di papan utama.
Cloudpoint, yang mula disenaraikan di Pasaran ACE pada 29 Mei 2023, telah mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 25% dalam keuntungan selepas cukai dari tahun kewangan 2020 hingga 2024.
Pemindahan ini dijangka membuka akses lebih luas kepada pasaran modal dan menarik minat pelabur institusi yang lebih besar.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Cloudpoint, Datuk Wira Choong Wai Hoong berkata, pemindahan ini sejajar dengan perkembangan perniagaan syarikat yang semakin pesat.
“Penyenaraian di Pasaran Utama ini adalah satu pencapaian besar bagi Cloudpoint. Ia bukan sahaja mencerminkan prestasi kewangan dan asas perniagaan kami yang kukuh, malah menunjukkan komitmen kami untuk memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
“Peningkatan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), transformasi digital dan keselamatan siber membuka ruang baharu untuk Cloudpoint memperkukuh kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian IT terkemuka di Malaysia.
“Kami optimist terhadap prospek masa depan dan bersedia merebut peluang-peluang baharu dengan memanfaatkan asas pelanggan yang kukuh serta reputasi pasaran yang semakin berkembang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan penyenaraian di Pasaran Utama, Cloudpoint menyasarkan untuk terus memperkukuh kedudukan pasaran, meningkatkan keterlihatan dalam kalangan pelabur dan memperluaskan akses kepada modal bagi menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com
standard

