Ramssol dilantik sebagai pengedar rasmi Tencent Cloud untuk pasaran Asia Tenggara

10/10/2025 - 11:08
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 10 Okt – Ramssol Group Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, RAMS PeopleTech Sdn Bhd dilantik sebagai pengedar rasmi perkhidmatan awan oleh Tencent Cloud di Asia Tenggara.
Tencent Cloud ialah cabang perkhidmatan awan syarikat teknologi global Tencent dari China.
Pelantikan itu memperluaskan lagi peranan Ramssol dengan membawa teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian awan Tencent ke pasaran utama seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina.
Ia juga selaras dengan inisiatif Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang menyokong perdagangan rentas sempadan dalam perkhidmatan digital.
Pengarah Urusan Kumpulan Ramssol, Datuk Wira Ts. Cllement Tan berkata, syarikat akan memainkan peranan penting dalam membantu pelanggan serantau melaksanakan dan mengurus penyelesaian Tencent Cloud dengan kepakaran tempatan.
“Fasa pertama pelaksanaan akan memberi tumpuan kepada teknologi AI Digital Human (Avatar Digital) yang membolehkan interaksi masa nyata melalui suara, pergerakan dan ekspresi wajah secara semula jadi.
“Teknologi ini dijangka membantu syarikat mengurangkan kos penghasilan kandungan serta meningkatkan interaksi pelanggan.
“Ia disusuli RAMS PeopleTech yang akan memperluas tawaran kepada rangkaian rumusan AI Tencent Cloud merangkumi teknologi kewangan, penjagaan kesihatan, pendidikan, runcit, logistik dan sektor awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat itu juga menyasarkan menjadi penyedia Platform Perkhidmatan Migrasi (MSP) rasmi pertama Tencent Cloud di luar China.
Ramssol akan membawa masuk dan menyediakan teknologi moden Tencent Cloud kepada syarikat-syarikat di Asia Tenggara, membolehkan mereka menggunakan perkhidmatan awan dengan lebih mudah tanpa perlu membina sistem sendiri, serta mendapat sokongan terus daripada pasukan tempatan.
Tambahnya, pelantikan itu bukan sekadar penawaran teknologi semata-mata tetapi merupakan permulaan kepada usaha membangunkan keupayaan tempatan dalam penyampaian perkhidmatan awan dan AI canggih bagi menyokong transformasi digital merentas industri di rantau ini. - DagangNews.com
standard


