
Selepas melalui pelbagai cabaran selama proses pembikinan, akhirnya filem pertama dan terakhir arahan Allahyarham Pitt Hanif iaitu Coast Guard Malaysia : Ops Helang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 2 Februari 2023.
Coast Guard Malaysia : Ops Helang menampilkan barisan pelakon seperti Saharul Ridzwan, Julia Farhana, Adlin Aman Ramli, Sabri Yunus, Jaja Iliyes, Aziz M Osman dan ramai lagi.

Filem ini memaparkan kisah kehidupan Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) APMM iaitu Leftenan Maritim Hafiz lakonan Saharul Ridzwan yang ingin memulakan kehidupan baru di sebuah pulau selepas mengalami Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD) akibat kehilangan rakan setugasnya dalam sebuah misi operasi.
Selepas beberapa tahun berlalu, Hafiz yang kini memilih untuk mengakhiri zaman bujangnya bersama tunangnya iaitu Nurul lakonan Jaja Illiyes.
Namun, ketika majlis pertunangan mereka, sekumpulan penjenayah yang diketuai Samat lakonan Adlin Aman Ramlee menyerang dan menculik Hafiz, Nurul dan ibu bapa Nurul serta beberapa tetamu lain termasuk beberapa Anggota APMM untuk dijadikan tebusan.
Semuanya gara-gara dendam terhadap Hafiz yang telah membunuh salah seorang daripada ahli kumpulan mereka dalam operasi terdahulu
Sewaktu dibawa ke tengah laut, salah seorang penjenayah berkenaan telah menembak Hafiz sehingga dia terjatuh ke dalam laut. Beberapa lagi teman Hafiz turut ditembak. Namun mereka berjaya bertahan dan berpaut pada sebatang pokok di tengah laut.
Sementara Pegawai Penyiasat APMM daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Leftenan Maritim Melati (Julia Farhana) ditugaskan untuk menyiasat kes ini dan berjaya mengesan kedudukan Hafiz serta rakan-rakannya.
Kini Hafiz perlu menyelamatkan tunangnya serta tahanan yang lain yang ditempatkan di dalam gua di sebuah pulau.
Sejujurnya penulis terhibur menonton filem ini. Biarpun ini merupakan filem pertama arahan arwah Pitt, namun arwah berjaya menggarapnya dengan baik untuk sebuah filem aksi. Untuk melakukan penggambaran di atas laut dan pulau bukannya sesuatu yang mudah kerana melibatkan pelbagai aspek dari sudut teknikal.
Mungkin pengalaman Pitt yang banyak menjadi pembantu pengarah sebelum ini telah digunakan sepenuhnya untuk mengarahkan filem ini.
Mungkin ramai yang akan mempersoalkan pemilihan pelakon utama filem ini iaitu Saharul Ridzwan yang lebih dikenali sebagai hero drama romantis dan percintaan Melayu, namun Saharul telah membuktikan bahawa dia juga layak untuk diangkat sebagai hero aksi di layar perak.
Saharul sanggup membuat perubahan pada bentuk fizikalnya yang kelihatan begitu gagah dan perkasa dalam filem ini.

Pujian harus diberikan kepada Sabri Yunus dan Adlin Aman Ramlee yang memberikan lakonan yang cukup berkesan. Tidak dilupakan Hazama.
Biarpun wataknya kecil dan tidak punya banyak dialog, namun dia berjaya mempamerkan aksi yang benar-benar meyakinkan. Begitu juga dengan Julia Farhaha yang memainkan watak sebagai Leftenan Maritim Melati.
Jika mahu menyentuh aspek teknikal, pastinya terdapat kepincangan di beberapa bahagian kerana perlu diingatkan, filem ini melalui banyak cabaran untuk dihasilkan. Namun kepincangan itu tidaklah sampai mencacatkan keseluruhan perjalanan filem ini.
Penonton juga akan dikejutkan dengan beberapa kejutan dan ‘plot twist’ yang membuatkan filem ini bertambah menarik untuk ditonton.
Jangan lupa untuk menonton filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang di pawagam berdekatan bermula hari ini. – Getaran, 2 Februari 2023
Rating : 3.5 Getar


