CoKeeps muncul syarikat penyimpan aset digital pertama diiktiraf di Malaysia

LocalBusiness & Finance
10 Nov 2023 • 5:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CoKeeps muncul syarikat penyimpan aset digital pertama diiktiraf di Malaysia

diyana

10/11/2023 - 17:05

KUALA LUMPUR 10 Nov - CoKeeps Sdn Berhad menjadi entiti pertama yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menawarkan perkhidmatan penyimpanan aset digital kepada pasaran.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif CoKeeps, Suhanna Hussein berkata cadangan nilai unik firma itu ialah teknologi proprietari terasnya yang menyokong perkhidmatan, dikenali sebagai CoKeeps Wallet.

“CoKeeps Wallet ialah alat pengurusan aset digital gred institusi yang menggunakan keselamatan terpencar dan teknologi pengiraan berbilang pihak yang mampu menghapuskan satu titik kegagalan, satu cabaran biasa ditemui dalam penyimpanan kripto.

"Ciri-cirinya juga termasuk 'cold wallets' dan 'hot wallets' dengan akses API (antara muka pengaturcaraan aplikasi) dan rumusan kontrak pintar," katanya.

Menurut Investopedia, cold wallets merujuk kepada penyimpanan mata wang kripto luar talian (offline) untuk mengelak ia digodam, sementara 'hot wallets' merujuk kepada dompet mata wang kripto yang sentiasa disambung ke rangkaian internet dan mata wang kripto.

Suhanna berkata ciri keselamatan CoKeeps adalah unik, kerana infrastrukturnya dibina untuk mengatasi ancaman luaran dan dalaman.

Beliau menambah bahawa firma itu kini sedang terlibat dengan entiti lain yang dikawal selia dalam pasaran modal bagi perkhidmatan penyimpana aset digital, termasuk pertukaran aset digital dan pengendali platform tawaran pertukaran permulaan.

“Tambahan pula, pengurus dana dan pelbagai institusi kewangan menggabungkan kelas aset digital untuk meluaskan tawaran mereka. Pengembangan ini memerlukan penyelesaian sedia, seperti kami, untuk memastikan pematuhan," kata Suhanna.

Selepas tiga tahun bekerja keras membina penyelesaian DAC (penyimpanan aset digital) yang mantap dengan bimbingan SC, Suhanna berkata pihaknya berbesar hati untuk menjadi syarikat pertama yang diluluskan untuk beroperasi di bawah Garis Panduan SC berhubung Aset Digital.

“SC berada di barisan hadapan pengawal selia global dalam membangunkan pendekatan berkaedah untuk mengawal selia aset digital, dan garis panduannya menyediakan peta jalan yang jelas untuk pembangunan yang selamat dan bertanggungjawab bagi kelas aset ini.

“Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan SC bagi memastikan perkhidmatan DAC kami memenuhi standard kawal selia tertinggi dan kami teruja untuk memainkan peranan utama dalam pembangunan ekosistem aset digital di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com